Kes relaps kian meningkat di Korea Selatan

SEOUL, 14 APRIL – Jumlah kes relaps COVID-19 kian meningkat di Korea Selatan sejak beberapa hari kebelakangan ini, meletakkan pihak berkuasa kesihatan sekali lagi berdepan tugas getir walaupun kadar jangkitan baharu menunjukkan penurunan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC), pada Isnin seramai 116 orang dikesan positif semula, meningkat tiga lagi kes berbanding hari sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap.

Relaps bermaksud kemunculan semula penyakit dalam tempoh tertentu selepas kelihatan sembuh.

Pihak berkuasa kesihatan sedang berusaha mencari punca bagaimana perkara itu boleh berlaku, sebilangan besar kes – sejumlah 83 – dilaporkan di Daegu dan wilayah Gyeongsang Utara.

“Penyiasat sedang mencari punca sama ada virus itu kembali menyerang atau menjangkiti semula.

Kami juga sedang menyiasat kes berulang itu mendorong kepada infeksi sekunder,” kata ketua KCDC Jeong Eun-kyeong kelmarin.

Jeong juga mengatakan KCDC juga bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perkara itu.

Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini dilaporkan berkata virus itu kemungkinan besar kembali aktif, bukannya mereka dijangkiti semula, kerana ujian dilakukan tidak lama selepas mereka keluar dari kuarantin. – Bernama