Kes rogol: Hukuman mati ditukar penjara seumur hidup

MUMBAI, 25 NOV – Mahkamah Tinggi Mumbai hari ini meringankan hukuman mati yang dijatuhi terhadap tiga lelaki disabitkan kesalahan kes merogol, kepada hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Kejadian rogol berlaku pada 2013, disusuli satu lagi kes rogol berkumpulan yang diklasifikasikan berprofil tinggi pada tahun sebelumnya, menyaksikan seorang wanita ditemui mati di New Delhi sehingga mencetuskan kemarahan dan bantahan di seluruh negara itu. Ia mendorong pelaksanaan lebih ketat undang-undang antirogol.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki di Mumbai bersama dua rakan jenayah memerangkap dan merogol ber-ulang kali wanita berusia 22 tahun, wartawan fotografi yang ketika itu bertugas di kawasan kilang terbiar.

Kilang itu terletak bersebelahan dengan kawasan pangsapuri fesyen, blok pejabat, kedai dan restoran di pusat kewangan India.

Serangan itu mengecewakan penduduk Mumbai selaku metropolis yang dianggap kawasan paling selamat untuk wanita berbanding New Delhi dan keputusan mahkamah hari ini juga membangkitkan kemarahan orang awam terhadap keselamatan wanita di India. “Kematian mengakhiri konsep penyesalan,” seorang hakim, dipetik sebagai berkata oleh agensi PTI.

“Tidak boleh dikatakan tertuduh hanya berhak menerima hukuman mati. Mereka juga berhak dipenjara seumur hidup bagi menyesali perbuatan yang mereka lakukan,” tambah hakim itu. – AFP