Kes Rohingya ‘tak benar’ – Suu Kyi

THE HAGUE, 11 DIS – Pemenang hadiah Nobel Aung San Suu Kyi hari ini menafikan ‘niat bunuh’ ketika beliau mempertahankan operasi tentera Myanmar ke atas penduduk Islam Rohingya di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berdiri di depan hakim di The Hague, pemimpin awam Myanmar mengaku tentera mungkin telah menggunakan ‘kekerasan tidak wajar’ namun berkata ia tidak membuktikan ia cuba menghapus kumpulan minoriti itu. Negara Afrika Gambia telah mengheret Myanmar ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan keras tentera pada tahun 2017 di mana ribuan orang terbunuh dan kira-kira 740,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Pernah dialu-alu di dunia atas tentangannya terhadap junta Myanmar, Suu Kyi kali ini berada di pihak tentera negara apabila beliau masuk ke kandang saksi.

“Dengan kesal Gambia telah mengemukakan di mahkamah gambaran yang mengelirukan dan tidak lengkap mengenai situasi di negeri Rakhine,” beritahu Suu Kyi, yang memakai pakaian tradisional Burma dan bunga di rambutnya, kepada mahkamah.

Beliau berkata tentera telah bertindak balas terhadap serangan oleh beratus militan Rohingya pada 2017.

“Tidak dapat disimpulkan bahawa kekerasan tidak wajar digunakan oleh anggota perkhidmatan pertahanan dalam sesetengah kes tanpa menghirau undang-undang kemanusiaan antarabangsa, atau pun mereka tidak dapat membezakan di antara pejuang dan orang awam,” kata beliau.

Namun beliau berkata Myanmar sedang melancarkan siasatannya sendiri, menambah: “Pastinya di bawah keadaan berkenaan, niat bunuh tidak boleh dijadikan satu-satunya hipotesis.”

Gambia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, menuduh Myanmar melanggar konvensyen genosid 1948 dan telah meminta mahkamah mengambil langkah kecemasan untuk menghentikan keganasan seterusnya. – AFP

Aung San Suu Kyi berdiri di depan Hakim Mahkamah Antarabangsa PBB pada 11 Disember di Peace Palace The Hague, pada hari kedua perbicaraannya mengenai kes genosid Rohingya. – AFP