Kes saman Musa Aman dikawal ketat

KOTA KINABALU, 23 Okt — Polis Sabah akan memperketatkan kawalan di dua premis bangunan berikutan pendengaran keputusan mahkamah melibatkan saman bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar kesahan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 25 Oktober ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata dua premis itu ialah kawasan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Beliau berkata pihak polis telah menerima maklumat bahawa penyokong daripada kedua-dua pihak akan mengadakan perhimpunan di dua kawasan berkenaan.

“Penyokong daripada kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) diminta supaya tidak mengeluarkan perkataan yang boleh menimbulkan provokasi dan menganggu gugat keselamatan orang awam di kawasan mahkamah.

“Elakkan daripada insiden yang tidak diingini dan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika mereka (penyokong) tidak mematuhi undang-undang,” katanya kepada pemberita sempena lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, anggota keselamatan juga dikerah untuk membuat tapisan di kawasan yang terlibat bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. – Bernama