Kes senapang buatan ditangguh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, membenarkan penangguhan kes seorang lelaki yang berdepan pertuduhan memiliki senapang buatan sendiri tanpa lesen.

Terdahulu, pihak pendakwaan membuat permohonan di hadapan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar untuk kes Michells Jackson anak Awil, 31, ditangguhkan selama dua minggu sementara menunggu laporan daripada pakar.

Tertuduh sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Kuala Ungar pada 11 Mei 2019 kira-kira jam 9:25 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(1) Peraturan Senjata dan Bahan Api yang membawa penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi daripada 15 tahun dan juga boleh dihukum dengan sebatan tidak kurang dari tiga sebatan dan tidak melebihi daripada 12 sebatan jika didapati bersalah.

Ketika diberkas, polis menemukan beberapa bahagian senapang dan peluru di rumah itu.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.