WASHINGTON, 8 NOV – Kes sifilis dalam kalangan anak damit baru lahir telah meningkat 10 kali ganda di Amerika Syarikat (AS) sejak 10 tahun lalu, pegawai kesihatan memberi amaran semalam, sebahagian daripada peningkatan yang lebih meluas dalam penyakit kelamin di AS.
Lebih 3,700 anak damit dilahirkan dengan sifilis kongenital pada 2022, lebih 10 kali ganda daripada jumlah pada 2012, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, dalam sembilan daripada 10 kes penyakit itu boleh dicegah dengan ujian dan rawatan tepat pada masanya semasa kehamilan, kata CDC.
“Krisis sifilis kongenital di AS telah melonjak pada kadar yang mengejutkan,” kata Ketua Pegawai Perubatan CDC, Debra Houry.
Anak damit boleh mengalami sifilis dalam rahim, jika ibu mereka dijangkiti dan tidak dirawat. Dalam wanita hamil, sifilis boleh menyebabkan keguguran, kematian anak baru lahir atau komplikasi jangka panjang untuk anak damit, seperti kehilangan penglihatan atau pendengaran dan kecacatan tulang. – AP
