Kes tembak anggota TUDM: Polis tunggu laporan forensik

KUCHING, 22 SEPT – Polis sedang menunggu laporan forensik berkaitan insiden tembakan melibatkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban di kem TUDM, Kota Samarahan, 13 Ogos lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata laporan tersebut antara lain turut melihat kepada kandungan telefon bimbit mangsa serta suspek yang diambil bagi membantu siasatan.

Katanya telefon-telefon berkenaan telah dihantar ke unit forensik di Bukit Aman dan pihaknya kini masih menunggu laporan daripada mereka.

“Banyak perkara yang perlu diteliti dalam kes ini kerana melibatkan empat mangsa. Kita perlu lihat sejarah mereka…kandungan dalam telefon sama ada terdapat masalah seperti perbalahan atau isu lain yang boleh mencetuskan kejadian itu.

“Selain itu, kita juga telah rakam keterangan saksi serta rakan-rakan mangsa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, hari ini. – Bernama