Kes tembakan sempadan M’sia-Thai pertama kali berlaku

KUALA LUMPUR, 24 NOV – Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand sebelum ini hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.
Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 November lepas.

Bagaimanapun, hari ini tembakan itu telah mengorbankan seorang anggota PGA dan menyebabkan rakan setugasnya cedera parah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand antara anggota PGA dan kumpulan penyeludup yang dilaporkan pada 2:30 pagi itu adalah yang pertama berlaku dan telah menyebabkan anggota pasukan keselamatan terkorban.

“Ini menunjukkan kumpulan penyeludup semakin agresif dan berani menyerang anggota PGA yang sedang bertugas di sempadan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini. Hari ini, Bernama melaporkan seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup manakala seorang lagi cedera parah.

Anggota yang terkorban ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan a/l Tari cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed untuk membantu pasukan forensik JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan IPK Kedah menjalankan siasatan lanjut dalam kes tersebut.

“Saya minta kepada mereka (forensik JSJ IPK Perlis dan IPK Kedah) untuk tidak terlepas apa-apa prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes ini sekiranya kes ini dibicarakan kemudian dan berpeluang untuk sabitan tinggi apabila mendakwa suspek di negara ini.

“Selain itu, PDRM akan terus bekerjasama dan berhubung dengan Polis Diraja Thailand untuk mengesan dan menjejak saki-baki penyeludup di sebelah Thailand untuk dibawa ke Malaysia bagi menghadapi proses undang-undang di Malaysia,” katanya yang turut meminta Komander PGA Briged Utara SAC Abdul Ghani Mohamad Ji mengetuai operasi kawalan keselamatan di sempadan negara berhubung kes itu. – Bernama

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dilihat sedang mengawal ketat Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi ketika Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak. – Bernama