Kes tipu wanita Filipina ditetapkan tahun hadapan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Mahkamah Majistret menetapkan tarikh 11 hingga 14 Januari 2021 bagi perbicaraan seorang warga Filipina yang didakwa melakukan penipuan dan kesalahan yang berkaitan.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menetapkan tarikh berkenaan bagi perbicaraan Melanie Tomas Marcos, 35, yang didakwa menipu seorang lelaki berusia 35 tahun dengan alasan telah membayar bagi tiga telefon bimbit dan mendorong lelaki itu untuk menyerahkan telefon kepadanya, di kawasan perumahan di Jalan Mumong, Kuala Belait.

Bagi tuduhan kedua, defendan didakwa melakukan penggubahan wang haram dengan menjual salah satu telefon bimbit berkenaan pada harga $300 kepada pembeli dan bertemu di tempat letak kereta Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait pada pukul 8 malam 28 Mei dan memperoleh keuntungan daripada hasil jenayah.

Manakala tuduhan ketiga mendakwa defendan menjual telefon bimbit lainnya kepada seorang pembeli pada harga $450 di sebuah rumah pekerja di Jalan Tengah, Kuala Belait pada pukul 2 petang, 29 Mei dan juga memperoleh keuntungan hasil jenayah tersebut.

Tuduhan keempat mendakwa defendan menjual telefon bimbit ketiga kepada seorang pembeli dengan harga $650 dan berjumpa di tempat letak kereta Sentral KB pada pukul 12:33 tengah hari, 30 Mei. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff.