Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kes treler: 3 kena penjara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Mahkamah Majistret, kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara ke atas tiga lelaki tempatan susulan pengakuan bersalah mereka terhadap pertuduhan menyeleweng dua platform treler dari Jalan Meragang di Kampung Kapok.

    Mulkan @ Abdul Quddus bin Haji Mohamed Deli, 43, dan Sainrin bin Haji Hassan, 52, masing-masing dipenjara lapan bulan, manakala Mohamad Ishak bin Hamdani, 35, yang mempunyai dua sabitan terdahulu, dipenjara 12 bulan.

    Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman, ketika menjatuhkan hukuman, menekankan fakta yang mereka telah menyebabkan kerugian besar kepada mangsa, keuntungan daripada menjual platform treler, menyebabkan hukuman penjara dijatuhkan bagi mencerminkan faktor yang memburukkan kes.

    Mahkamah juga menyatakan, hukuman Mohamad Ishak perlu dibezakan daripada defendan bersamanya kerana dia tanpa ragu tidak belajar daripada hukuman penjara yang panjang sebelum ini atas sabitan terdahulu pada kes 2013 dan 2018.

    Fakta kes Pendakwa raya Sabrina Haji Mahmud mendedahkan pada Mei lalu, Mulkan telah menunda sebuah kenderaan lama milik orang lain ke kawasan di Jalan Meragang.

    Ketiga-tiga mereka kemudian membuka bahagian alat kenderaan untuk dijual.

    Semasa berbuat demikian, mereka melihat dua platform treler dengan ukuran panjang berlainan, dan kemudiannya merancang untuk menjualnya.

    Mohamad Ishak menghubungi pengurus sebuah syarikat simpanan sekerap dan menawarkan barangan itu untuk dijual, mendakwa ia milik arwah bapanya.

    Mereka juga memberikan lokasi di mana treler itu disimpan. Pada hari yang sama, Sainrin menghantar gambar treler tersebut kepada pengurus berkenaan.

    Semasa pengurus simpanan sekerap itu melawat lokasi itu, dia menyedari bahawa treler yang ditawarkan kepadanya sebenarnya adalah milik bekas rakan niaganya.

    Dia segera pergi menemui bekas rakannya itu dan anaknya untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut yang mana mereka menafikan mahu menjualnya.

    Defendan akhirnya menjual platform treler itu kepada syarikat simpanan sekerap lain, yang telah mengeksportnya.

    Pada 29 Mei, anak lelaki berkenaan pergi meninjau tapak di tanah milik keluarga mereka, dan menyedari dua treler sepanjang 20 kaki panjang 40 kaki telah hilang.

    Laporan polis telah dibuat dan membawa kepada penahanan ketiga-tiga defendan.

    Treler sepanjang 20 kaki itu dianggarkan berharga $43,000 dan treler sepanjang 40 kaki dianggarkan berharga $50,000.

    Ketiga-tiga mereka merayu belas ihsan mahkamah, menggesa agar denda dikenakan, bukannya hukuman penjara. 

    Pendakwa raya Sabrina mengemukakan kepada mahkamah bahawa hukuman penjara adalah wajar bagi defendan yang tidak menghormati harta benda orang lain, dan hakikatnya, mangsa telah mengalami kerugian yang besar.

    Sementara itu, Salina binti Uni, 38, yang didakwa bersama ketiga-tiga mereka, menafikan terlibat dalam jenayah tersebut dan mahkamah telah menetapkan 19 Julai bagi tarikh perbicaraan ditetapkan dalam kes tersebut.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...