Kes ugut: Lelaki dihukum penjara, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Mahkamah Perantaraan hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berserta dua kali sebatan ke atas seorang lelaki tempatan yang memeras ugut wang untuk tidak memuat naik gambar dua orang mangsa ketika menggunakan tandas.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali dalam pendakwaannya menyatakan bahawa Muhammad Afham Wafi bin Bujang, 25, merupakan seorang pembersih yang telah berkhidmat selama lapan tahun di sebuah pejabat di Panaga. Pada mulanya tertuduh mengambil video seorang mangsa berusia 27 tahun yang sedang menggunakan tandas. Tertuduh kemudiannya menyedari bahawa mangsa merupakan saudara jauhnya.

Tertuduh kemudiannya menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mencari nombor telefon mangsa dan menghantar tangkapan skrin daripada video mangsa yang diambilnya.

Tertuduh memeras ugut dengan meminta wang sebanyak $300 namun mangsa tidak membuat sebarang pembayaran kepada tertuduh.

Mangsa sebaliknya membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh. Semasa dalam proses penyiasatan, pihak polis turut mendapati bahawa tertuduh juga telah memeras ugut seorang lagi mangsa berusia 33 tahun pada 7 atau 8 Januari di mana tertuduh mengambil video mangsa ketika menggunakan tandas.

Tertuduh juga telah menghantar tangkapan skrin kepada mangsa dan meminta bayaran wang sebanyak $1,500 daripada mangsa kedua untuk tidak menyebarkan video tersebut.

Mangsa kedua telah meninggalkan wang sebanyak $500 di sebuah rak untuk diambil tertuduh. Manakala itu, $1,000 lagi disimpan di rak yang sama pada keesokan harinya namun sebelum tertuduh mengambil wang tersebut mereka terserempak antara satu sama yang lain dan berjumpa di sana.

Tertuduh telah memulangkan $500 kepada mangsa atas kejujurannya dalam memegang janjinya dan kemudiannya menghapuskan fail media dan mangsa memaafkan tertuduh.

Kes dikendalikan oleh Hakim Hajah Hazaren binti POKSJ DP Haji Hurairah.