Kes virus cecah tiga juta, pelan keluar lockdown

PARIS, 28 APRIL – Kes-kes koronavirus yang disahkan kini telah mencecah tiga juta di seluruh dunia, ketika Perancis dan Sepanyol yang teruk terjejas bersedia untuk memperincikan strategi keluar daripada perintah berkurung yang dikenakan untuk mencegah penularan wabak maut itu.

Ketika beberapa negara merangka laluan mereka untuk keluar daripada belenggu lockdown itu, Presiden AS Donald Trump berkata pandemik memusnahkan itu mungkin boleh ‘dihentikan dari sumbernya’ oleh China, mengatakan AS mungkin meminta pampasan.

Lebih 209,000 orang telah terkorban di seluruh dunia akibat COVID-19, suku daripadanya adalah dari AS.

“Kami tidak gembira dengan China..kami percaya ia mungkin dapat dihentikan pada sumbernya. Ia boleh dihentikan dengan cepat dan ia tidak akan merebak ke seluruh dunia,” kata Trump mengenai penyakit itu yang muncul di bandar Wuhan China lewat tahun lalu.

Jumlah tiga juta itu kemungkinan mencerminkan hanya pecahan daripada jumlah sebenar jangkitan, ketika banyak negara hanya menguji pada kes-kes yang serius.

Apabila ditanya tentang editorial akhbar Jerman yang menggesa China untuk membayar Jerman sebanyak AS$165 bilion sebagai pampasan kepada kemusnahan ekonomi akibat virus itu, Trump berkata AS mungkin akan mengambil tindakannya ke atas China.

“Kami bercakap tentang wang yang banyak lebih daripada apa yang Jerman katakan. Kami belum lagi menentukan jumlah muktamad. Ia cukup banyak,” katanya.

Peramal memberi amaran kemelesetan global paling teruk dalam satu abad, dengan harga minyak jatuh dan sektor perjalanan dan pelancongan terjejas teruk. – AFP

Tentera Perancis dari Operasi Sentinelle meronda di daerah La defense, dekat Paris pada 27 April, ketika negara itu mengenakan perintah berkurung (lockdown) untuk menghentikan penularan pandemik COVID-19. – AFP