BEIJING, 12 MAC – Bilangan jangkitan baharu di pusat epidemik koronavirus China telah menurun ke tahap rendah baharu hari ini namun negara itu telah ‘mengimport’ lebih banyak kes tersebut dari negara luar.
Seramai 11 orang lagi meninggal dunia di seluruh negara itu, penambahan harian terendah sejak lewat Januari membawa jumlahnya di China kepada 3,169 kematian, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Hanya ada lapan kes baharu di Wuhan, bandar di mana virus itu pertama kali muncul pada Disember sebelum meningkat menjadi krisis kebangsaan dan menjadi pandemik.
Ia adalah pertama kali kes baharu di Wuhan, bandar wilayah Hubei, telah menurun kepada digit tunggal sejak jumlahnya mula dilaporkan pada Januari.
“Kemuncak epidemik di China sudah lepas,” jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Mi Feng berkata pada taklimat biasa.

“Bilangan kes baharu terus menurun dan penularan epidemik pada amnya masih di tahap rendah.”
Dengan kes-kes menurun secara dramatik beberapa hari lalu, pihak berkuasa minggu ini mula mengurangkan beberapa penyekatan ke atas penduduk Hubei seramai 56 juta, yang telah dikuarantin sejak Januari lalu.
Mereka yang sihat tinggal di kawasan berisiko rendah di wilayah itu kini boleh membuat perjalanan dalam kawasan Hubei. Sementara Wuhan tidak termasuk, beberapa syarikat-syarikat di bandar itu diarahkan untuk menyambung semula kerja mereka.
Hari ini, enam lagi kes import dilaporkan, membawa jumlahnya dari luar negara kepada 85, kata pegawai kesihatan.
Beijing telah mengarahkan kuarantin 14 hari untuk pengunjung yang tiba di bandar itu dari mana-mana negara.
Para pengunjung yang masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dari negara-negara berisiko tinggi kini dikendalikan secara berasingan daripada para penumpang lain.
Sejumlah 80,793 orang kini telah didiagnosis dijangkiti di China. – AFP