Kes virus Iran cecah 180,000

TEHRAN, 11 JUN – Lebih 180,000 orang telah dijangkiti wabak koronavirus di Iran sejak ia pertama kali muncul hampir empat bulan lalu, kata pegawai hari ini.

Ketika jumlahnya diumumkan, Presiden Hassan Rouhani menyeru penduduk Iran untuk mematuhi garis pandu yang dihasratkan untuk menghentikan penularan COVID-19.

“Jika semua orang mematuhi arahan kesihatan dengan betul, maka semua pekerjaan boleh dibuka semula,” katanya dalam ucapan yang disiarkan dalam televisyen kerajaan.

“Kita sedang menunjukkan peningkatan perlahan dan berperingkat-peringkat (kerana kita tidak mahu) penduduk kita merasakan era koronavirus sudah berakhir.

“Ini akan membawa masalah kesihatan besar kepada kami,” kata Rouhani.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sima Sadat Lari berkata 2,238 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam telah membawa jumlah keseluruhan kepada 180,156.

Menurutnya 78 kematian baharu telah membawa jumlah keseluruhannya kepada 8,584. Iran melaporkan kes pertama COVID-19 pada 19 Februari – dua kematian di bandar suci Qom. – AFP