Monday, November 11, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesan awal penyakit buah pinggang

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Jumlah pesakit buah pinggang di peringkat akhir kekal di tahap tinggi dengan punca utama adalah penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyarankan semua pihak bertanggungjawab atas kesihatan sendiri dan keluarga agar peningkatan bilangan pesakit dapat dibendung, tekan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Perkhidmatan Renal, Awang Abdul Mu’iz bin Haji Ibrahim (gambar) dalam ucapannya pada Sesi Ketiga Forum Kesihatan dan Pameran Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin.

    Awang Abdul Mu’iz mengongsikan bahawa pada 2021, sebanyak 235 kematian pesakit buah pinggang peringkat akhir telah direkodkan dan pada 2022 mencatatkan kira-kira 192 kematian berdasarkan Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang bagi Negara Brunei Darussalam.

    “Secara purata, peningkatan kira-kira 28 orang pesakit dari setahun ke setahun direkodkan di Negara Brunei Darussalam,” katanya pada forum Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2023 itu.

    Oleh itu, tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang dan mengurangkan kesan penyakit buah pinggang serta masalah yang berkaitan dengannya, Kempen Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia disambut setiap tahun pada Khamis minggu kedua Mac.

    Beliau menyatakan, tema sambutan pada 2023 ialah ‘Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua – Bersedia untuk Sebarang Kemungkinan, Melindungi Golongan Rentan’ yang menekankan keperluan bagi merangka semula pengesanan awal penyakit buah pinggang, pengurusan dan penjagaan penyakit buah pinggang demi meningkatkan hasil supaya pesakit dapat terus menikmati hidup mereka masing-masing.

    Tema itu, ulasnya lagi, amat relevan kepada penghidap penyakit buah pinggang memandangkan mereka adalah antara golongan rentan yang mempunyai risiko lebih tinggi bagi sebarang kemungkinan seperti dijangkiti penyakit berjangkit dan mengalami kesan jangkitan yang lebih teruk berbanding dengan pesakit lain.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai disaran mengamalkan gaya hidup sihat, aktif, mengelakkan merokok atau menggunakan vape dan mengikuti pemakanan yang sihat serta seimbang dan pengambilan ubat-ubatan mengikut arahan doktor supaya semua dapat menikmati kehidupan yang sihat dan sejahtera.

    Pada majlis berkenaan, forum kesihatan telah disampaikan oleh tiga orang ahli panel iaitu Pakar Bersekutu, Jabatan Perkhidmatan Renal, Dr Lim Yee Yin; pesakit renal, Awang Mohd Jafni bin Haji Mohd Hussain dan Jururawat Renal, Dayang Maswinda Sari Haji Zainal dengan moderator, Dayang Rozita binti Haji Abdul Latif.

    Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara pegawai yang hadir pada taklimat yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda