Kesan Brexit mungkin melimpah

LONDON, 9 Jan – Brexit tidak teratur merupakan antara ancaman politik yang tidak diketahui kepada ekonomi global, dan berpotensi membahayakan bukan sahaja ekonomi Britain malah ekonomi Eropah serta ekonomi negara jiran yang bergantung kepada zon Eropah, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai Bank Dunia.

Skala kerosakan yang boleh disebabkan oleh Brexit tidak teratur Britain daripada Kesatuan Eropah (EU) tidak dapat diukur buat masa ini, kata Franziska Ohnsorge (gambar bawah), Pengurus Kumpulan Prospek Pembangunan Bank Dunia kepada pemberita dalam satu taklimat di sini pada Selasa.

“Brexit adalah satu risiko kepada pertumbuhan UK (United Kingdom), namun Brexit tidak teratur merupakan satu ancaman kepada pertumbuhan di Eropah dan banyak negara yang amat bergantung kepada kawasan Eropah untuk perdagangan,” kata Ohnsorge.

“Pihak yang paling bergantung kepada perdagangan dengan kawasan Eropah ialah timur Eropah seperti Bulgaria dan Georgia serta Afrika Utara.”

Ohnsorge berkata dua risiko utama kepada pertumbuhan ekonomi global pada 2019 ialah “gangguan pasaran kewangan tidak teratur dan dasar atau ketidakpastian politik yang boleh memberi kesan kepada gangguan pasaran kewangan,” sambil menambah bahawa Brexit adalah antara ancaman yang berpotensi terhadap kestabilan.

“Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan pertumbuhan kawasan Eropah, ia akan dirasai dalam pasaran memuncul. Ia adalah satu risiko kepada pasaran memuncul dan pertumbuhan ekonomi membangun,” katanya.

Ohnsorge berkata demikian pada pelancaran ulasan tahunan ekonomi dunia, Global Economic Prospects dan beliau merupakan pengarang utama laporan itu.

Ohnsorge berkata pertumbuhan Britain pada 2018 kini dijangka perlahan kepada 1.3 peratus dan bagi 2019, beliau meramalkan pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus. – Bernama