RENJATAN elektrik adalah bahaya yang berlaku apabila seseorang itu tersentuh atau terdedah kepada arus yang mengalir melalui badan.
Disebabkan tubuh kita adalah konduktor terbaik, arus elektrik yang mengalir mengakibatkan kecederaan akibat renjatan.
Selain cedera dan mengakibatkan komplikasi kepada kesihatan, renjatan boleh menyebabkan kematian.
Kecederaan akibat renjatan bergantung pada arus voltan, sukatan arus (Ampere), jenis arus (langsung atau tidak langsung), rintangan tubuh terhadap arus, laluan arus melalui badan dan jangka masa tubuh terdedah kepada arus.
Semua faktor ini yang menghasilkan kesan daripada renjatan amat ringan seperti mencucuk-cucuk sehingga kematian serta-merta.

Sistem saraf merangkumi otak, saraf tunjang dan saraf sangat sensitif terhadap kecederaan renjatan elektrik dan masalah neurologikal adalah kesan buruk yang sering dialami mangsa renjatan elektrik.
Walaupun kerosakan neurologikal boleh jadi ringan dan pulih sendiri atau dengan bantuan rawatan perubatan, ia boleh jadi serius dan kekal.
Kerosakan pada pernafasan dan sistem kardiovaskular pa-ling tinggi ketika kecederaan. Renjatan elektrik boleh melumpuhkan sistem pernafasan termasuk mengganggu jantung yang menyebabkan kematian segera.
Urat dan arteri lebih kecil juga berisiko apabila renjatan elektrik menyebabkan darah tersumbat, manakala kerosakan pada saluran darah lebih kecil menyebabkan anggota badan terpaksa dipotong.
Kecederaan lain adalah termasuk katarak, kegagalan buah pinggang, kemusnahan tisu otot dan renjatan tinggi menyebabkan kekejangan otot serius sehingga mampu mematahkan tulang-temulang.
Pada dasarnya, renjatan elektrik mendatangkan dua jenis kesan utama kepada mangsa iaitu rangsangan otot dan saraf serta lecuran pada tisu dan organ.
Arus dari 0 hingga 10 miliAmpere (mA) memberikan kesan seperti mencucuk-cucuk yang amat ringan dan tidak menyebabkan kecederaan, sebaliknya arus dari 10 mA hingga 40 mA menyebabkan kontraksi otot.
Disebabkan itu mangsa renjatan elektrik tidak boleh melepaskan peralatan yang menjadi sumber kepada renjatan kerana otot tangannya kejang. Contohnya, mangsa yang terkena renjatan semasa memegang pemancur air ketika mandi menggunakan pemanas air atau mangsa memegang pengering rambut.
Bagi arus 40 mA hingga 100 mA, renjatan boleh menyebabkan tisu terbakar dan kulit melecur sehingga meninggalkan kesan pada badan. Malah, arus dengan kekuatan ini turut menyebabkan masalah pernafasan.
Arus dengan kekuatan 100 mA hingga 900 mA menyebabkan masalah pada rentak jantung sama ada laju atau perlahan (aritmia). Mangsa juga boleh mengalami gangguan rentak jantung sepenuhnya iaitu fibrilasi ventrikular (VF) yang menyebabkan jantung berhenti mengepam dan renjatan dengan arus 1,000 mA sudah cukup menyebabkan maut.
Namun, bagaimana renjatan elektrik menjejaskan seseorang individu adalah bergantung pada rintangan kulit terhadap arus.
Setiap orang mempunyai rintangan kulit terhadap arus yang berbeza, bagaimanapun faktor seperti kelembapan, ketebalan, dan kebersihan kulit juga mempengaruhi.
Kulit yang lembap dan tipis kurang rintangannya berbanding kulit yang tebal dan kering. Apabila rintangan kulit pada arus rendah, arus mungkin menyebabkan kelecuran pada tisu dan organ dalaman berbanding rintangan kulit kepada arus yang tinggi mungkin hanya menyebabkan kulit melecur teruk.