Kesan COVID-19 melalui aplikasi mudah alih di Colombia

BOGOTA, 9 MAC – Colombia pada Ahad melancarkan aplikasi mudah alih khas, mengandungi semua maklumat mengenai COVID-19 untuk memudahkan orang ramai mengetahui dan memperoleh sebarang perkembangan terkini berkaitan wabak itu, lapor agensi berita Anadolu.

Aplikasi mudah alih itu dilancarkan oleh Presiden Colombia Ivan Duque.

Dikenali CoronApp-Colombia ia memuatkan semua maklumat termasuk langkah-langkah pencegahan dan orang ramai boleh memuat naik maklumat yang diperlukan secara percuma.

Aplikasi itu juga boleh diakses pengguna telefon pintar Android dan iOS.

CoronApp-Colombia juga mengandungi nombor telefon yang boleh dihubungi jka berlaku sebarang kecemasan.

Kes pertama COVID-19 di Colombia membabitkan seorang wanita berusia 19 tahun di Bogota yang baru pulang dari Milan, Itali.

Presiden turut menggesa pihak pengurusan hotel dan acara mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya untuk melindungi pelanggan mereka.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Fernando Ruiz berkata pihak berkuasa kini dalam usaha mengetatkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan sempadan. – Bernama