Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesan Ihtilam dalam ibadat

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ihtilam dari segi bahasa bermaksud apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya (mimpi).

    Menurut fuqaha pula, Ihtilam ialah nama bagi apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya daripada perbuatan jimak (persetubuhan) dan selalunya disertai dengan keluar air mani.

    Ihtilam tanda baligh

    Ihtilam itu boleh terjadi kepada lelaki dan perempuan. Apabila seseorang itu keluar air mani sama ada ketika dalam jaga ataupun tidur, itu menunjukkan dia sudah mencapai umur baligh.

    Segala kewajipan seperti sembahyang dan puasa mula dipertanggungjawabkan ke atasnya.

    Seseorang yang mengalami ihtilam dan keluar air mani ketika dia sedang beriktikaf dalam masjid maka tidak batal iktikafnya. Tetapi hendaklah menyegerakan mandi wajib agar tidak terputus hari iktikaf yang berturut-turut. – Gambar hiasan

    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: “Apabila anak-anak kamu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang cukup umur) yang tersebut dahulu meminta izin.” (Surah an-Nur: 59)

    Kesan ihtilam dalam mandi

    Jika seseorang itu mengalami Ihtilam sama ada lelaki atau perempuan dan menyebabkannya keluar air mani maka wajib ke atasnya mandi wajib.

    Namun jika Ihtilam yang dialaminya itu tidak disertai dengan keluar air mani, maka tidak wajib ke atasnya mandi wajib.

    Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati basah (air mani) dan dia tidak ingat bahawa dia bermimpi. Baginda bersabda: “Hendaklah dia mandi” Dan (Baginda ditanya) tentang seorang lelaki yang menyangka bahawa dia telah bermimpi dan tidak mendapati basah. Baginda bersabda: “Tidak wajib ke atasnya mandi.” Ummu Sulaim berkata: “Jika perempuan bermimpi sedemikian (keluar air mani) adakah ke atasnya mandi? Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya perempuan-perempuan itu saudara-saudara kepada laki-laki.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Bila perempuan yang ihtilam mandi wajib?

    Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa perempuan yang Ihtilam dan keluar air mani diwajibkan ke atasnya mandi wajib. Ini dilihat lagi pada status perempuan itu dan keadaan air mani yang keluar.

    Menurut pengarang kitab al-Hawi bahawa perempuan yang dara diwajibkan mandi apabila keluar air mani sampai di luar farajnya.

    Namun jika ia keluar tidak sampai di luar farajnya maka tidak diwajibkan mandi, ini kerana yang di dalam faraj itu mengikut hukum batin.

    Sebagaimana juga perempuan yang dara tidak wajib membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjak.

    Berlainan halnya dengan perempuan yang bukan dara. Apabila keluar air maninya sama ada keluar sehingga di luar faraj ataupun tidak adalah diwajibkan ke atasnya mandi.

    Ini kerana perempuan yang bukan dara diwajibkan membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjak.

    Ternampak air mani di atas tilam

    Jika seseorang itu ternampak air mani di atas tilam yang dia dan orang lain juga tidur di atas tilam yang sama itu dan orang lain itu ialah orang yang sudah mencapai umur yang boleh keluar air mani, maka tidak diwajibkan  ke atas kedua-dua mereka itu mandi wajib.

    Ini kerana air mani itu boleh sahaja datangnya daripada salah seorang daripada mereka dan mandi itu juga tidak wajib dengan adanya syak.

    Walau bagaimanapun sunat ke atas mereka mandi dan tidak harus mereka berdua menjadi imam atau makmum di antara satu sama lain sebelum mereka mandi wajib.

    Adapun jika dia seorang sahaja yang tidur di atas tilam tersebut ataupun dia tidur bersama dengan orang lain yang belum mencapai umur yang boleh keluar air mani seperti anak damit, maka wajib ke atasnya mandi wajib.

    Ihtilam orang yang baru memeluk agama Islam

    Jika seorang kafir mengalami Ihtilam dan keluar air maninya lalu dia memeluk agama Islam, maka wajib ke atasnya mandi wajib.

    Berlainan halnya jika tidak terjadi perkara-perkara yang mewajibkan mandi ketika dalam kafirnya, maka sunat sahaja ke atasnya mandi.

    Kesan ihtilam dalam puasa

    Jika orang yang berpuasa keluar air maninya di siang hari Ramadhan disebabkan Ihtilam maka puasanya tidak batal.

    Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    “Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang tidak membuatkan orang puasa itu berbuka iaitu bekam, muntah dan mimpi.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Oleh itu hendaklah dia meneruskan puasanya kerana puasanya tersebut masih lagi dihukumkan sah akan tetapi hendaklah dia mandi wajib kerana disebabkan keluar air mani itu.

    Kesan ihtilam dalam iktikaf

    Jika seseorang itu mengalami Ihtilam dan keluar air mani ketika dia sedang beriktikaf dalam masjid maka tidak batal iktikafnya.

    Hendaklah dia segera mandi wajib agar tidak terputus hari yang berturut-turut apabila dia bernazar iktikaf dalam beberapa hari yang berturut-turut.

    Adapun waktu yang dia berada dalam keadaan junub itu adalah tidak dikira sebagai iktikaf.

    Jika dia tidak dapat melakukan mandi wajib di dalam masjid maka wajib dia keluar daripada masjid kerana duduk diam dalam masjid dengan keadaan berjunub adalah haram.

    Namun jika dia dapat melakukannya di dalam masjid tanpa duduk diam di dalamnya maka harus baginya berbuat demikian akan tetapi lebih baik dia keluar kerana memelihara maruahnya dan kehormatan masjid.

    Demikianlah penjelasan beberapa perkara mengenai kesan ihtilam dalam ibadat yang perlu kita ketahui bagi memelihara dan mencapai kesempurnaan ibadat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda