Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kesan lebih buruk menanti

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Perubahan iklim merupakan satu isu utama yang memberikan kesan kepada kehidupan seharian pada masa ini dan ia merupakan ancaman yang paling besar kepada kesihatan global dalam abad ke-21.

    Perubahan iklim mengancam orang ramai dengan kekurangan makanan dan air, peningkatan kejadian banjir, panas yang melampau, lebih banyak penyakit dan kehilangan ekonomi.

    Laporan IPCC yang diterbitkan baru-baru ini, memberikan gambaran yang membimbangkan di mana perubahan iklim sudah memberikan kesan di setiap pelosok dunia dan kesan yang lebih buruk akan dirasai jika kita gagal untuk mengurangkan separuh pelepasan gas rumah hijau pada dekad ini serta segera meningkatkan adaptasi.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menekankan perkara itu dalam ucaptama semasa Perasmian Minggu Tindakan Iklim, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau berkata bahawa sebagai sebuah negara kecil, Brunei Darussalam hanya menyumbang sebanyak 0.025 peratus jumlah keseluruhan pengeluaran gas rumah hijau global setiap tahun.

    Menteri-menteri kabinet semasa merasmikan Minggu Tindakan Iklim pada persidangan Brunei MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan ucaptama semasa Perasmian Minggu Tindakan Iklim, kelmarin.

    “Ini adalah disebabkan kekayaan hutan hujan yang meliputi 72 peratus kawasan tanah, yang meresap 97 peratus pengeluaran gas rumah hijau domestik,” jelasnya lagi.

    Namun begitu, Brunei tidak terkecuali daripada kesan krisis iklim di mana minimum suhu meningkat pada kadar 0.25 darjah Celsius sedekad dan akan mencapai peningkatan sebanyak 4 darjah Celsius pada penghujung abad.

    Beliau berkata bahawa minimum turunan hujan bulanan negara diramalkan meningkat kepada minimum 500mm menjelang 2050.

    “Kita telah mengalami cuaca tidak menentu dengan peningkatan jumlah banjir, kebakaran hutan, tanah susur dan angin kencang, yang telah mempunyai kesan yang terus kepada infrastruktur dan persekitaran yang kita panggil rumah,” tekannya.

    Dengan akibat buruk perubahan iklim, hab ekonomi kita yang terletak secara strategik di sepanjang pantai, serta ibu negara kita, Bandar Seri Begawan, juga akan terancam di mana paras laut dijangka meningkat kepada 1.1 meter pada hujung abad.

    Oleh itu, tekan beliau, adalah amat penting bagi kita memainkan peranan masing-
    masing dalam tindakan iklim, dan meminimumkan kesan serta risiko perubahan iklim sebagai sebahagian daripada usaha setempat bagi menyumbang kepada tindakan global.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Pembangunan menerusi Sekretariat Perubahan Iklim Brunei telah merancang secara aktif dan melaksanakan dasar perubahan iklim dan langkah-langkah untuk mena-ngani isu-isu perubahan iklim yang berterusan.

    Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) yang dilancarkan pada Julai 2020, tambahnya, telah ditubuhkan untuk menurap laluan kepada iklim berdaya tahan dan rendah karbon Brunei bagi sebuah negara mampan.

    BNCCP telah menggariskan 10 strategi utama daripada pelbagai sektor bagi mengurangkan pelepasan net-carbon Brunei dan akan membuka peluang-peluang bagi pela-buran dalam teknologi hijau atau rendah karbon.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Brunei sebagai sebuah negara yang sebahagian besarnya pengeluar minyak dan gas, telah mengumumkan cita-citanya menuju ke arah Sifar Bersih menjelang 2050 yang akan diterajui melalui peralihan sektor negara khususnya tenaga boleh diperbaharui, zero routine flaring, pengurusan jana kuasa efisien, carbon pricing serta pemuliharaan hutan.

    “Walaupun sumbangan kita kepada pelepasan gas rumah hijau global adalah rendah, kita percaya bahawa kita mampu untuk membuat perubahan besar dengan tindakan
    kecil kita,” ujarnya.

    Di bawah Blue Carbon Initiative Brunei, kita komited untuk menanam sebanyak 500,000 pokok menjelang 2035 sebagai sebahagian daripada penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi meresap pelepasan dan meningkatkan daya tahan serta adaptasi kepada kesan perubahan iklim melalui pemuliharaan dan pemulihan ekosistem pantai.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...