SETENTUNYA rasa sangat seksa bagi individu yang mengalami masalah sakit belakang. Hendak bergerak pun sukar apa lagi untuk melakukan kerja-kerja seharian.
Sakit belakang tidak boleh dipandang ringan. Mungkin ini adalah tanda-tada anda menghidap Spondilitis kejur atau ankyolosing spondilitis. Anda perlu tahu membezakan gejala-gejala sakit belakang mekanikal dengan spondilitis kejur.
Sponditilis merujuk kepada radang pada ruas tulang.
Beza sakit belakang mekanikal dan Spondilitis kejur
Sakit belakang mekanikal ialah masalah perubatan umum di mana punca kesakitan mungkin dalam sendi tulang belakang, cakera, vertebra atau tisu lembut.
Sakit belakang mekanikal dialami oleh semua peringkat usia. Sebahagian besar sakit belakang mekanikal berlaku secara tiba-tiba. Sakit belakang mekanikal bertambah teruk apabila bergerak. Ia akan bertambah baik apabila berehat.
Spondilitis kejur ialah sejenis artritis yang menjejaskan tulang belakang, menyebabkannya bercantum dan mengakibatkan kekakuan pada tulang belakang.
Penyakit spondilitis kejur boleh dialami oleh mereka yang berusia di bawah 40 tahun. Perkembangan penyakit ini adalah secara beransur-ansur. Penyakit ini boleh bertambah apabila pesakit melakukan senaman.
Namun ia tidak bertambah baik apabila berehat. Pesakit akan mengalami rasa sakit pada waktu malam. Rasa sakit itu akan bertambah baik apabila bangun daripada tidur.

Tanda-tanda mengalami Spondilitis kejur
Manakala, Spondilitis kejur dialami terutamanya oleh pesakit muda yang berada di peringkat remaja atau awal dewasa.
Di samping itu, lebih ramai lelaki berbanding wanita yang mengalami masalah ini. Nisbahnya kira-kira 2:1.
Pesakit spondilitis kejur boleh mengalami tahap ketidakselesaan yang berbeza, daripada ketegangan ringan kepada tulang belakang yang bercantum akibat daripada pertumbuhan tulang.
Sesetengah pesakit mungkin menunjukkan tanda-tanda demam, kelesuan, hilang selera makan dan radang mata (kemerahan dan sakit). Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan masalah paru-paru dan jantung.
Lebih teruk lagi, Spondilitis kejur ialah penyakit serius yang kurang diketahui oleh kebanyakan orang.
Ramai pesakit yang mengalami gejala pertama mereka pada usia sangat muda. Ada yang baru sahaja menamatkan pengajian universiti dan memulakan kerjaya. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan aktiviti harian dan bekerja kerana mereka mungkin perlu kerap mengambil cuti untuk menguruskan penyakit mereka.
Kadangkala kesakitan dari spondilitis kejur amat menyeksakan sehingga mereka tidak dapat tidur. Keadaan ini juga menjejaskan interaksi sosial pesakit dengan orang lain kerana ia juga mengehadkan pergerakan mereka.
Rawatan terkini
Justeru adalah penting untuk pesakit mengesan tanda awal spondilitis kejur dan menerima rawatan bagi mencegah kerosakan tulang belakang kekal.
Oleh itu, pesakit yang mengalami gejala di atas adalah dinasihatkan untuk mendapat bantuan pakar dengan serta-merta.
Rawatan piawaian yang disyorkan bagi masalah spondilitis kejur juga termasuk ubat antiradang bukan steroid (NSAID) dan terapi faktor nekrosis anti-tumor (TNF).
Bagi sesetengah pesakit, rawatan terbabit gagal untuk mengawal penyakit dengan sewajarnya atau mempunyai kesan sampingan yang tidak boleh diterima oleh pesakit.
Buktinya, 40 peratus penghidap spondilitis kejur tidak bertindak balas terhadap terapi anti-TNF.
Lazimnya, ubat inovatif baru memang mahal dan rawatan Cosentyx pula diharap dapat membantu pesakit meningkatkan fleksibiliti dan kembali bergerak.
Lebih penting, ia dapat memberi peluang kepada pesakit untuk mengekalkan keupayaan bekerja dan membantu mengurangkan kerumitan yang dikaitkan dengan penyakit ini.
Walaupun ubat biologi lebih berpatutan berbanding rawatan piawaian semasa, terdapat sebilangan besar pesakit yang tidak mampu mendapatkan rawatan itu.
Ini salah satu faktor yang menghalang pesakit daripada menerima rawatan sewajarnya di peringkat awal.