Monday, February 6, 2023
22.7 C
Brunei

-

Kesedaran keselamatan, kesihatan pekerjaan meningkat

KUALA LUMPUR – Keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah komponen penting dalam persekitaran kerja yang baik di samping faktor fizikal dan mental yang boleh mempengaruhi sebahagian besar keadaan pekerja.

Risiko kemalangan pekerjaan termasuk insiden maut serta jangkitan penyakit di tempat kerja bukan sahaja boleh menjejaskan produktiviti syarikat tetapi turut berpotensi mempengaruhi aspek sosial, ekonomi dan pendapatan negara jika tidak dibendung sebaiknya.

Pelbagai faktor penyumbang

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Mohd Anuar Embi, kadar kecederaan pekerjaan dan kadar kecederaan maut pekerjaan negara mencatatkan penurunan, masing-masing sebanyak 40.4 peratus dan 51.7 peratus, bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sebanyak 35,460 kes kecederaan pekerjaan direkodkan pada 2018 dan 21,534 kes pada 2021, sementara bagi kecederaan maut pula sebanyak 611 kes dilaporkan pada 2018 dan 301 kejadian pada 2021.

“Antara faktor penyumbang kepada penurunan tersebut ialah penguatkuasaan dan promosi berkesan termasuk menggunakan pendekatan norma baru serta kesan tindakan punitif jabatan terhadap majikan yang gagal mematuhi kehendak perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Mohd Anuar Embi,Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). – Bernama
Dr Shawaludin Husin, pakar kesihatan pekerjaan. – Bernama
Pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan pemeriksaan di Menara PNB 118, Kuala Lumpur. – Bernama
Pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Bukit Raja, Klang– Bernama
Pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kapal korek. – Bernama

“Selain aktiviti ekonomi pelbagai sektor pekerjaan yang baru berjalan semula di bawah Pelan Pemulihan Negara dan fasa peralihan ke endemik, majikan dan pekerja juga lebih prihatin dalam melaksanakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam aspek KKP.

“Di samping keberhasilan jangka panjang pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP), peranan aktif penyelia latihan, pertubuhan bukan kerajaan dan pengamal KKP bagi membantu majikan meningkatkan tahap KKP di tempat kerja turut menyumbang dalam perkara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perlindungan sama rata

Menyentuh mengenai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 atau Akta 514 yang berkuat kuasa sejak 25 Feb 1994 bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua orang di tempat kerja, Mohd Anuar berkata ia berdasarkan konsep peraturan kendiri dengan tanggungjawab utama ialah memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak pada orang yang mewujudkan risiko (majikan) dan bekerja dengan risiko (pekerja).

Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, antaranya menggubal Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, melaksanakan OSHMP serta menambah baik perundangan dan penguatkuasaan perundangan KKP.

Mohd Anuar dalam masa sama berkata perundangan KKP di Malaysia, memberi perlindungan sama rata kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

Dalam konteks ini, majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja yang sedang bekerja, pekerja menjalankan tugas selaras dengan peruntukan Seksyen 24 dalam Akta 514, manakala JKKP pula perlu memastikan majikan dan pekerja menjalankan tanggungjawab mereka selaras dengan kehendak perundangan menerusi aktiviti penguatkuasaan, penyiasatan dan tindakan punitif.

Kerjasama semua pihak
Mengulas lanjut mengenai pengendalian kes kemalangan, kematian mahupun penyakit pekerjaan, beliau berkata ia dinyatakan dalam Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan, 2004 (NADOPOD).

“JKKP akan menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan, penyakit pekerjaan dan keracunan pekerjaan yang dilaporkan. Berdasarkan hasil siasatan, JKKP akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan surat arahan, notis pembaikan, notis larangan, mengeluarkan kompaun atau mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Pekerja yang mendapat bencana sewaktu bekerja dan mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan seperti faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat dan pendidikan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani/vokasional,” katanya.

Stres ancaman popular pekerjaan

Sementara itu, mengulas mengenai ‘hazard’ atau punca keadaan yang berisiko mengakibatkan kemudaratan sekali gus mendatangkan kecederaan serta penyakit pekerjaan, pakar kesihatan pekerjaan Dr Shawaludin Husin berkata ia terdiri daripada aspek fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial.

Aspek fizikal sebagai contoh, melibatkan faktor pencahayaan, suhu, bunyi bising; kimia (logam berat, racun, pelarut); biologi (virus termasuk COVID-19, haiwan membawa penyakit); ergonomik (peralatan, kedudukan sewaktu bekerja, kerja berulang-ulang) dan psikososial (stres, murung, bekerja lebih masa).

Dr Shawaludin berkata stres merupakan ancaman pekerjaan yang semakin mendapat perhatian kerana ia boleh membawa kepada kecelaruan keresa-han, kecelaruan kemurungan dan gangguan tekanan pascatrauma.

Katanya walaupun stres boleh dikaitkan dengan faktor luaran, majikan berperanan untuk mengenal pasti punca pekerja mengalami stres yang mungkin dikaitkan dengan lambakan kerja sehingga ‘burnout’, pekerja seringkali perlu bekerja lebih masa, dan majikan mengganggu selepas waktu bekerja dan pada hari cuti. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -