Kesedaran kesihatan mental penting

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Pendekatan seluruh negara dalam menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan belia sangat kritikal kerana menurut maklumat yang dikongsi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), separuh daripada semua penyakit mental bermula seawal usia 14 tahun, dengan kebanyakan kes yang dilaporkan, tidak dikesan atau dirawat awal.

Perkara berkenaan adalah antara yang ditekankan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim semasa menyampaikan ucapan pada majlis Forum Belia sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Dr Hajah Norhayati turut menyenaraikan antara isu-isu yang dihadapi oleh para belia pada masa ini seperti isu buli, buli siber, bunuh diri, masalah kesihatan mental awal (early onset mental illness) dan kesan-kesan pelbagai jenis trauma yang mana memerlukan masa serta perhatian dan juga kesedaran dari pelbagai pihak bukan hanya daripada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan bahkan juga masyarakat sekeliling.

“Kesedaran atau kepekaan masyarakat mengenai kesihatan mental adalah sangat penting dan sebenarnya memainkan dua peranan signifikan dalam sama-sama membantu belia kitani, iaitu dengan mengurangkan dan menghentikan stigma negatif atau pandangan negatif mengenai kesihatan mental dan isu-isu yang berkaitan dengannya dan membantu belia yang memerlukan bantuan dan rawatan untuk mendapatkannya secara cepat, tepat dan selamat,” jelasnya lagi.

Beliau juga menambah bahawa dalam usaha menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan belia pada masa ini, Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang merangkumi kaunseling dan rawatan untuk kanak-kanak serta remaja melalui Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan juga melalui Perkhidmatan Psikologi di pusat-pusat kesihatan dan hospital seluruh negara.

“Bermula Ogos 2017, Pusat Promosi Kesihatan, sebagai salah satu langkah pencegahan dan melalui strategi kesihatan mental turut memperkenalkan dan mengungkayahkan program-program mempromosikan kesihatan mental untuk golongan kanak-kanak dan belia muda seperti Kempen Brunei Bebas Buli dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Program Jaga Minda Kita dan aktiviti-aktiviti pendidikan kesihatan mental,” ujar Dr Hajah Norhayati lagi.

Kesemua langkah berkenaan adalah selaras dengan usaha-usaha Kementerian Kesihatan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 bagi memastikan kualiti kehidupan rakyat dan di peringkat global pula bertepatan dengan seruan pihak WHO yang telah mengiktiraf kesihatan mental sebagai salah satu isu kesihatan utama untuk diberi perhatian bersama dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain yang mana juga terkandung dalam agenda Pembangunan Mapan 2030.

Dr Hajah Norhayati semasa menyampaikan ucapan pada Forum Belia sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018, kelmarin.
Antara yang hadir pada forum yang diadakan Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.