Kesedaran melindungi hidupan laut semakin meningkat

KUALA PERLIS – Kesedaran dalam kalangan nelayan Perlis mengenai kepentingan bersama menjaga spesies hidupan laut terancam seperti ikan lumba-lumba semakin meningkat, kata Pengasas Perlis Nature and Wildlife, Syamil Abd  Rahman. 

“Nelayan di sini (Kuala Perlis) memberi kerjasama melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Perlis dan PNW jika mereka terjumpa bangkai ikan lumba-lumba atau menghantar video ikan lumba-lumba yang diselamatkan kepada kami,” katanya.

Katanya pihak PNW ke lokasi penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba hari ini bagi mengambil  sampel untuk dihantar  kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam bidang biologi marin, MareCet untuk ujian makmal. 

Penemuan bangkai ikan lumba-lumba di pesisiran pantai Kuala Perlis berhampiran Kampung Sungai Baru itu dimaklumkan kepada PNW oleh nelayan.

“Dalam tempoh Januari hingga September tahun ini terdapat dua kes menyelamatkan ikan lumba-lumba dan empat kes melibatkan penemuan bangkai ikan tersebut di Perlis,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kes adalah hasil kesedaran nelayan dan orang ramai membuat  laporan mengenai penemuan ikan lumba-lumba sama  ada yang masih hidup atau sudah mati.

Turut hadir di lokasi penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu adalah Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis, Razak Saad dan Pengerusi Komuniti Perikanan Perlis (MyKP), Husin Ya.

Sementara itu, Razak Saad, 60, berkongsi dengan para wartawan yang berada di lokasi penemuan itu mengenai pengalaman pertamanya berpeluang menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba sepanjang hampir 42 tahun menjadi nelayan.

“Berdasarkan pengalaman saya hampir 42 tahun menjadi nelayan, inilah kali pertama saya berpeluang untuk  menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba pada Jumaat (3 Sept) kira-kira 5:30 petang,” katanya.  

Razak berkata beliau bersama dua orang rakannya iaitu Abdullah Lee dan Mustaqim Ahmad telah mengangkat kedua-dua ikan lumba-lumba masing-masing seberat 200 kilogram (kg)  dan 20 kg yang terperangkap juga di tepi pantai berhampiran Kampung Sungai Baru ketika air surut, ke dalam bot mereka.

Beliau berkata ikan lumba-lumba adalah haiwan yang unik dan ia seolah-olah faham dengan bahasa manusia.

“Ketika mengangkat kedua-dua ikan tersebut, ia diam apabila saya cakap ‘Hang Diam Sat, Aku Nak Kalih Hangpa’ (Diam sekejap saya mahu angkat kamu),” katanya sambil tersenyum menceritakan detik menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba itu.

Mereka bertiga kemudiannya membawa ikan lumba-lumba dua beranak itu kira-kira satu batu nautika dari pantai sebelum melepaskan mereka di tengah laut.

Razak berkata detik yang paling indah kepada mereka bertiga adalah apabila ikan lumba-lumba itu menghempas ekornya ke air sebagai isyarat tanda terima kasih. – Bernama