Kesefahaman dua negara perlu jika buka sempadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Penelitian dan perbincangan perlu dilakukan dengan mengambil kira faktor-faktor lain seperti persetujuan dan persefahaman antara negara-negara terlibat jika sekatan merentas sempadan dibuka semula satu ketika nanti.

Perkara ini memang sedang dalam penelitian dan satu jawatankuasa di Brunei Darussalam telah ditubuhkan untuk membincangkan keadaan, bagaimana penyelarasannya dan sebagainya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Walau bagaimanapun, menurutnya, ia masih terlalu awal untuk dilakukan memandangkan negara ini masih berada pada tahap pertama dalam peringkat pengurangan penjarakan sosial.

Dengan Malaysia kini akan mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan di sempadan, di mana salah satu kaedahnya adalah dengan membenarkan perjalanan rentas sempadan menggunakan kaedah negara-negara ‘gelembung hijau’.

Pendekatan tersebut akan membolehkan Malaysia untuk mencapai persetujuan antara dua zon hijau dengan membenarkan perjalanan antara kedua-duanya, selepas mengkaji prosedur SOP yang perlu dilaksanakan.

“Kita masih berada dalam peringkat pengurangan penjarakan sosial. Insya Allah, kalau tidak ada apa-apa masalah mungkin dilanjutkan kepada tahap kedua dan seterusnya,” jelas beliau.

Perkara tersebut, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, diambil maklum dan pihak kerajaan sudah pun mengusahakan bagaimana pendirian negara dan bagaimana ia boleh dijalankan jika ada persefahaman antara Negara Brunei Darussalam dan mana-mana negara yang terlibat dalam membuat persetujuan.

Gambar fail menunjukkan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh ketika masih beroperasi sebelum ditutup. Penelitian dan perbincangan perlu dilakukan dengan mengambil kira faktor-faktor lain seperti persetujuan antara negara-negara terlibat jika sekatan merentas sempadan dibuka semula satu ketika nanti. – Gambar oleh Daniel Lim