LEICESTER, 18 April – Juara Liga Perdana, Leicester City seharusnya menemui sentuhan taktikal dan emosi yang seimbang sekiranya mahu melakar sejarah dalam persaingan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, awal pagi esok.
The Foxes kini dipisahkan satu kemenangan daripada tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara, lapan tahun selepas kemenangan 2-0 di Southend United yang menyaksikan Leicester dinaikkan pangkat daripada divisyen tiga England.
Pengurus kelab, Craig Shakespeare, berkata tiada apa yang boleh difikirkan oleh pemainnya selain tugasan penting untuk mencipta kebangkitan daripada ketinggalan 1-0 di suku akhir pertama.
“Esok, tumpuan kami hanya untuk perlawanan itu saja,” katanya kepada wartawan menjelang perlawanan tersebut.
“Anda boleh melihat ke depan dan ke masa silam semula, tetapi kini tumpuan kami hanya untuk esok. Dari mana kelab ini datang ternyata ia satu perjalanan yang penuh menakjubkan.
“Jika anda bercakap tahun lalu kami memenangi Liga Perdana Inggeris dan tahun ini bermain dalam suku akhir dengan peluang semakin hampir ke separuh akhir Liga Juara-Juara, pasti semua orang sukar mempercayainya.”
Stadium King Power dijangka bergegar dengan aksi yang mendebarkan awal pagi esok, tetapi Shakespeare berkata ia amat penting untuk pemainnya mengekalkan ketenangan.
“Sebagai pemain, anda perlu mendapatkan keseimbangan yang tepat, tetapi saya fikir saya mendapatinya dalam skuad ini,” kata pengurus Leicester itu, yang mana pasukannya tewas kepada penalti Antoine Griezmann dalam suku akhir pertama.
Menurutnya lagi : “Kami perlu mencari semula gol. Tetapi pada masa sama kami juga perlu berwaspada dengan ancaman daripada pemain seperti Antoine Griezmann.
“Kami perlu menutup setiap ruang kerana mereka sebuah pasukan yang begitu bagus dalam mencipta serangan balas yang berbahaya.” – AFP