Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesejahteraan rakyat paling diutamakan

    Oleh Imelda Groves HA

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Pelbagai perkara dan isu yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan diteliti dan dilaksanakan mengikut keutamaan demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat di negara ini.

    “Setentunyalah perkara-perkara yang ditimbulkan dan dikemukakan ini akan diambil perhatian dan diteliti kesesuaiannya bagi penambahbaikan dan seterusnya bagi perkembangan dan kemajuan negara sebagai pemangkin untuk kebajikan, kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan rakyat dan penduduk di negara ini mencapai wawasan negara 2035.”

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyatakan perkara demikian semasa ucapan penangguhannya dalam Persidangan Majlis MMN, hari ini.

    Beliau juga berkata sebagai langkah strategik seperti mana yang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada awal mesyuarat ini, fokus peruntukan kewangan 2017/2017 telah ditumpukan kepada lima perkara.

    Ini meliputi perbelanjaan berhemah, meningkatkan produktiviti negara, memudahkan perdagangan, membina kapasiti dan model insan serta memelihara perkhidmatan awam.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar.

    “Alhamdulillah persoalan dan isu-isu yang telah ditimbulkan serta pandangan-pandangan, ulasan-ulasan, saranan-saranan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan adalah selaras dengan proses strategik perbelanjaan berkenaan walaupun kadang-kadang tersasar sedikit dari fokus”, jelas lagi.

    Katanya, maklum balas dan maklumat yang diketengahkan adalah amat berharga dan menggambarkan keprihatinan dan pemedulian ahli-ahli MMN kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat dan kaitannya dengan peranan dan tanggungjawab setiap kementerian.

    “Dalam pengamatan saya, perbahasan kita juga berkisar kepada rancangan atau program yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda pada Istiadat Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan MMN ke-13.”

    Kerajaan Brunei, jelasnya lagi, telah berjaya menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini, sebagai langkah dan usaha bagi menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menjadikan negara ini sebagai sebuah destinasi menarik FDI dan seterusnya menjadi salah satu usaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara.

    Tidak dapat dinafikan bahawa sejauh ini, kehadiran syarikat-syarikat pelaburan langsung asing (FDI), telah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    “Dari segi pekerjaan umpamanya, dari 17 buah syarikat luar negeri yang sudah beroperasi telah dapat memberikan sumber pekerjaan kepada 1321 orang pekerja tempatan ataupun 58 peratus daripada keseluruhan jumlah pekerja malah sebilangan syarikat telah mengambil lebih ramai perkhidmatan daripada tenaga tempatan berbanding tenaga luar negeri,” jelasnya lagi.

    Namun tambah beliau, dalam sektor-sektor tertentu, nisbah pekerja asing adalah sedikit tinggi.

    “Sebenarnya dalam beberapa sektor pekerjaan, kita masih mempunyai nisbah pekerja asing yang tinggi berasaskan banci majikan dan pekerja 2015 dalam 19 sektor pekerjaan, di mana terdapat 82, 739 pekerja asing iaitu 64 peratus dalam sektor pertanian, perhutanan, 78 peratus dalam sektor perikanan, manakala dalam sektor pembuatan dan pembinaan, masing-masing mencapai 79 dan 87 peratus.

    “Ini bermakna dalam bidang tertentu kita masih kekurangan tenaga kerja yang mahir dari segi pengalaman dan berada di tahap yang mencukupi,” katanya lagi. Beliau menambah kata, negara masih memerlukan sumbangan tenaga luar negeri untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan agar menjadikan negara lebih kompetitif dan pada masa yang sama tidak mengetepikan tenaga tempatan.

    Menurutnya, di sinilah letaknya keperluan bagi tenaga tempatan untuk mengisi ruang-ruang ini dengan latihan dan bimbingan secara berterusan untuk mengasah kemahiran dan meningkatkan pengalaman selaras dengan dasar strategik iaitu bagi meningkatkan kapasiti dan model insan.

    Menyedari dalam perkara tersebut, kerajaan katanya telah mengambil langkah untuk mewujudkan beberapa program atau inisiatif untuk memastikan tahap kemahiran dapat dicapai mengikuti bidang-bidang tertentu dengan pengenalan industri kompetensi framework dan program-program latihan kemahiran menerusi institusi pendidikan dan latihan.

    Beliau dan ahli-ahli MMN lainnya juga menyokong dan menyambut baik program apprenticeship yang diperkenalkan iaitu I-RDYbagi memberi pengalaman bekerja kepada graduan serta meningkatkan keupayaan dalam bidang marketabiliti dan mengurangkan mass-matching,” katanya. Beliau dan kerajaan berharap peluang seumpama ini akan dapat dimanfaatkan oleh para graduan demi kebaikan diri sendiri dan meningkatkan kapasiti sumber tenaga tempatan.

    Beliau juga menyentuh mengenai keperluan untuk kita sama-sama berganding bahu dalam menangani cabaran krisis kewangan yang dihadapi dengan mengubah sikap, memperkukuh jati diri, berusaha lebih gigih dengan penuh semangat dan iltizam serta tidak mudah berputus asa.

    Menyentuh mengenai penglibatan orang Melayu di dalam bidang perniagaan, beliau berkata kerajaan sememangnya sudah lama memberikan perhatian dan sokongan bagi melahirkan dan memajukan peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha Melayu sejak tahun 80-an dengan penubuhan lembaga kemajuan ekonomi yang kemudian dikembangkan menjadi Islamic Development bank.

    Menyedari akan hakikat ini sekali lagi dewan ini menyambut baik penubuhan bank SME yang objektifnya adalah untuk membimbing membantu dan memajukan peniaga-peniaga mikro kecil dan sederhana agar membolehkan mereka untuk meneruskan dan memperkembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih maju dan berupaya menyumbangkan kepada kemajuan ekonomi negara. Menurutnya, ia memerlukan komitmen perubahan sikap dan minda masyarakat Brunei agar memanfaatkan kemudahan yang ditawarkan dengan bijak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda