Kesejahteraan rakyat pemangkin kemajuan negara

Oleh Syahmi Hassan

Seiring dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 tahun dan pengadaptasian normal baharu berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini, pelbagai perkembangan dan kemajuan negara dari pelbagai aspek telah dapat disaksikan di mana pelbagai infrastruktur dan prasarana telah dan sedang diusahakan demi memastikan kehidupan yang aman damai dan harmoni kepada rakyat Negara Brunei Darussalam.

Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien

Bagi memudahkan perjalanan ulang-alik penduduk berikutan dengan penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan tahun lalu, jambatan penghubung Daerah Brunei dan Muara dan Temburong yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien telah dibukakan kepada orang ramai bermula 17 Mac tahun lalu.

Projek besar itu mencerminkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kebajikan rakyat dan penduduk negara ini terutamanya semasa bermulanya sekatan perjalanan merentas sempadan negara yang menjejaskan haluan antara Daerah Temburong dan Daerah Brunei dan Muara, yang menyaksikan projek mega itu dipercepatkan untuk dibukakan demi kesejahteraan penduduk yang terjejas.

Semenjak pembukaannya, para pengguna dapat membuat perjalanan dengan lebih mudah tanpa perlu melalui empat pos pemeriksaan imigresen yang sering sesak sekali gus memendekkan masa perjalanan di antara kedua-dua buah daerah.

Para penduduk negara ini khasnya mereka yang tinggal di Daerah Temburong sebelum ini menyeberang ke Daerah Brunei dan Muara melalui jalan sungai yang memakan masa kira-kira 45 minit atau melintasi daerah negara jiran, Limbang, Sarawak yang kini tidak dapat digunakan berikutan sekatan perjalanan rentas sempadan.

Hasil daripada pembukaan jambatan tersebut telah dan sedang menyaksikan banyak perubahan ketara terutama dari segi pembangunan bangunan kedai-kedai dan pembaharuan tempat pelancongan di Daerah Temburong. – Gambar oleh Muiz Matdani
Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) adalah entiti baru yang beroperasi, memodenkan dan memiliki infrastruktur rangkaian telekomunikasi bersepadu Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan UNN
Industri minyak dan gas yang sudah wujud di negara ini sejak 90 tahun yang lalu terus kekal kukuh dan relevan pada masa akan datang dengan sektor hiliran dan perkhidmatannya terus berkembang. – Gambar oleh Muiz Matdani
Berikutan dengan penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan tahun lalu, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien telah dibukakan kepada orang ramai bermula 17 Mac tahun lepas. – Gambar oleh Muiz Matdani
Loji Ammonia dan Urea yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) terletak di tapak seluas 55 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) bermula pada Mei 2018 dan dijadualkan bagi penghasilan urea pertama pada suku kedua 2021. – Gambar serahan Kementerian Tenaga

Hasil daripada pembukaan jambatan tersebut telah dan sedang mencipta banyak perubahan ketara terutama daripada segi pembangunan bangunan kedai-kedai dan pembaharuan kawasan pelancongan, penghijrahan penduduk dan perekonomian, di samping menarik lebih ramai pelancongan dalam negara (domestik) melawat ke Daerah Temburong.

Selain itu, dengan adanya jambatan ini, ia dapat memudahkan penduduk Temburong untuk membawa hasil-hasil mereka ke Bandar Seri Begawan dan akan terdapat banyak lagi prasarana yang dijangka dibina di Daerah Temburong.

Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien ini dibina merentasi Teluk Brunei dari Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara dan dihubungkan ke Jalan Labu Estet di Daerah Temburong.Sepanjang perjalanan di jambatan itu, kenderaan yang melalui akan dapat melihat pemandangan seperti Kampong Ayer, Sungai Brunei dan hutan-hutan tropika.

Dengan ukuran kira-kira 30 kilometer, ia menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara dengan lebuh raya dua hala yang disokong oleh kabel dengan reka bentuk unik dan menarik.

Dengan adanya jambatan tersebut, standard belia-belia di Temburong dijangka berubah kerana peluang untuk menjalankan perniagaan dapat dilakukan dengan mudah dengan bertambahnya bilangan pengunjung dan pembeli, sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam, sejajar dengan matlamat Wawasan 2035.

Infrastruktur telekomunikasi

Berikutan pengumuman transformasi industri telekomunikasi oleh Darussalam Assets Sdn Bhd pada Februari 2019 bahawa Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) adalah entiti baru yang beroperasi, memodenkan dan memiliki infrastruktur rangkaian telekomunikasi bersepadu Negara Brunei Darussalam.

UNN merupakan sebuah organisasi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan serupa dengan syarikat telekom lain, ia diiktiraf sebagai syarikat berkaitan kerajaan di bawah Darussalam Assets Sdn Bhd, pemegang saham UNN.

Sejak penubuhan UNN, ia telah mencapai pelbagai pencapaian, antara lain termasuk pengambilalihan dan pemindahan semua infrastruktur dan aset rangkaian yang dikendalikan dan dimiliki oleh syarikat telekomunikasi sedia ada, termasuk Telekom Brunei Berhad (TelBru), DatastreamTechnology Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Brunei International Gateway Sdn Bhd (BIG) dalam usaha untuk menyatukan semua rangkaian bagi memberikan perkhidmatan yang berdaya tahan dan berkualiti kepada seluruh negara.

Perniagaan UNN sejajar dengan visi dan misi mereka yang bertujuan untuk mewujudkan platform digital moden dan cekap untuk menyokong Wawasan Brunei 2035 dan perjalanan transformasi ICT. Ia termasuklah teknologi 5G dan Internet Benda (IoT).

Brunei telah melihat penggunaan solusi digital yang dipercepatkan akibat pandemik COVID-19 yang membawa kepada penyelesaian baharu termasuk e-Pembelajaran, pejabat rumah, aplikasi pengesanan kontak dan sistem yang didukung oleh kecerdasan buatan (AI). Produk sampingan baharu ini mewakili tindak balas masyarakat terhadap cabaran masa kini dan landskap digital yang berkembang pesat ketika Brunei terus melancarkan era digitalisasi dan Industri 4.0.

Menyentuh mengenai IoT, dalam usahanya ke arah menjadi perintis platform digital, UNN, pada pertengahan tahun lepas, telah memperkenalkan perkhidmatan IoT baharu untuk menyampaikan data menerusi rangkaian mudah alih.

Cadangan berkenaan menawarkan keupayaan machine-to-machine (M2M) bagi peranti-peranti saling berhubung untuk bertukar maklumat dalam persekitaran satu ke satu, dengan server berpusat khas bagi pengumpulan dan pemprosesan data.

Perkhidmatan IoT berkenaan membolehkan pelbagai penggunaan, contohnya menyampaikan perkhidmatan pemantauan bagi status peralatan, pemantauan penggunaan dan pengesanan aset.

Ia boleh dipelbagaikan untuk memenuhi berbagai-bagai penggunaan seperti meter pintar, sistem letak kereta pintar, pengesanan geo-lokasi, pemantauan tanaman dan sebagainya.

Sebagai pembekal perkhidmatan borong, UNN membuka jalan untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan dan meluaskan rangkaian dengan teknologi terkini. Bersama dengan pihak berkepentingan, mereka akan mencipta bersama inovasi untuk infrastruktur dan perkhidmatan di Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, syarikat telekomunikasi juga menawarkan pakej menarik kepada pengguna dan menembusi pasaran dalam persaingan yang adil.

Organisasi tersebut komited sepenuhnya untuk membangunkan dan memperkasakan inisiatif Brunei Negara Pintar dan menyokong bakat di semua segmen, serta percaya bahawa dengan memodenkan infrastruktur rangkaian dan melabur dalam teknologi baru, mereka dapat meningkatkan kualiti dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di negara ini, dengan kemampuan dan akses yang lebih baik.

Minyak dan gas

Industri minyak dan gas yang sudah wujud di negara ini sejak 90 tahun yang lalu terus kekal kukuh dan relevan pada masa akan datang dengan sektor hiliran dan perkhidmatannya terus berkembang.

Dalam sektor huluan, usaha sedang dijalankan untuk menghidupkan atau memperbaharui infrastruktur hidrokarbon negara dengan menerokai dan melaksanakan pembangunan laut dalam sehingga 2,000 meter yang akan membuka bab baharu dan menjana lebih banyak peluang dalam sektor tenaga negara.

Pada masa sama, negara juga sedang menerajui program penyahtaraan dan pemulihan aset lama.

Brunei berada dalam situasi yang unik dan amat mencabar di mana negara sedang melaksanakan kesemua fasa dalam kitaran penuh projek pembangunan hidrokarbon pada masa yang serentak iaitu daripada penerokaan, pembangunan, operasi, pemulihan aset, peningkatan pemulihan dan penyahtaraan serta pemulihan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan bagi produk-produk petroleum yang ditapis terus meningkat, di mana ia menyaksikan perkembangan yang pesat bagi industri hiliran secara global.Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam turut serta dalam pelaburan skala besar bagi projek-projek hiliran untuk menjana peluang bagi pasaran eksport serta industri domestik.

Pembinaan loji gas asli cecair (LNG) berskala dunia dengan kapasiti enam juta tan setahun telah bermula pada 1969 dan selepas 50 tahun, Brunei LNG terus menjadi salah satu pembekal LNG yang boleh dipercayai di dunia.

Selain itu, salah satu daripada projek mega hiliran negara yang sedang dalam pembinaan ialah Loji Ammonia dan Urea yang dikendalikan oleh Brunei FertilizerIndustries Sdn Bhd (BFI) di mana pembinaan loji canggih di atas tapak seluas 55 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) bermula pada Mei 2018 dan dijadualkan bagi penghasilan urea pertama pada suku kedua 2021 seperti yang diketengahkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-74.

Loji BFI itu dimiliki secara majoriti oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, Loji BFI itu merupakan salah satu daripada dua projek besar hiliran minyak dan gas di Brunei bersama-sama dengan Loji Penapisan dan Petrokimia di Pulau Muara Besar.

Apabila siap nanti, Loji BFI akan menjadi di antara loji baja yang terbesar di Asia Tenggara. Loji itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Offsite & Utilities, Loji Ammonia dan Urea.

Loji berkenaan mampu untuk menghasilkan sebanyak 2,200 tan metrik ammonia dan 3,900 tan metrik urea sehari, menjadikannya singletrain terbesar di dunia yang pernah dibina serta akan dieksport ke industri pertanian di rantau ini.

Pembinaan loji penapisan dan petrokimia di Pulau Muara Besar (PMB) yang berupaya mengeluarkan 165,000 tong sehari telah siap dibina dan sedang dalam fasa pentauliahan serta beroperasi pada awal 2020.

Terdapat perancangan untuk meneruskan fasa kedua kompleks penapisan dan petrokimia PMB yang akan meningkatkan keupayaan penapisan kepada 500,000 tong sehari di mana ia akan menjadikannya salah satu daripada kompleks terbesar di rantau ini.

Pelaburan keseluruhan bagi projek-projek hiliran baharu iaitu metanol, urea dan PMB fasa 1 dan 2 dianggarkan berjumlah $20 bilion dan apabila siap sepenuhnya, ia akan memacu pembangunan industri hiliran negara.

Menyentuh mengenai sektor perkhidmatan, dengan pelaburan yang besar dalam industri huluan dan hiliran, terdapat banyak peluang bagi syarikat-syarikat tempatan negara untuk membangunkan keupayaan mereka untuk bukan sahaja menawarkan perkhidmatan mereka kepada industri di Negara Brunei Darussalam tetapi juga serantau.

Walaupun pandemik COVID-19 memberikan cabaran signifikan kepada seluruh dunia digabung dengan impak harga minyak yang rendah, rakan-rakan kongsi perniagaan Brunei Shell Joint Venture (BSJV) terus menunjukkan pertumbuhan dengan pengambilan seramai 1,771 orang pekerja tempatan sepanjang 2020 di mana daripada jumlah berkenaan, seramai 936 orang merupakan pekerja baharu lepasan sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Pekerjaan tempatan juga meningkat daripada 59 peratus pada 2019 kepada 63 peratus pada hujung 2020 dengan prospek pekerjaan tempatan dijangka akan terus bertumbuh dalam tempoh lima tahun mendatang daripada dua sumber utama iaitu penjanaan peluang pekerjaan baharu khususnya daripada sektor hiliran tenaga dan juga menerusi penggantian asing tempatan.