Kesejahteraan warga emas tanggungjawab semua

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Menyedari pentingnya peranan masyarakat dalam menjamin kesejahteraan kehidupan warga emas di negara ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB) di seluruh daerah, Pertubuhan Wargamas serta Persatuan Demensia Brunei telah mengadakan Simposium Hari Antarabangsa Warga Emas (Demensia) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Simposium dengan tema ‘Perjalanan Menuju Kesamarataan Usia’ yang diadakan sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2019 itu dihadiri kira-kira 800 orang warga emas dari PKWE dan PMB seluruh daerah, pertubuhan warga emas, badan-badan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi.

Hadir merasmikan simposium berkenan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid dan Presiden Demensia Brunei, Dr Shyh Poh Teo, rakan strategik KKBS serta para pegawai kanan di KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Dayang Saidah dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis antara lain menyatakan simposium berkenaan diharap dapat mengumpulkan maklumat, pendapat dan penyelesaian bagi merancang serta menambah baik apa jua perkara berkaitan dalam meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga emas dalam menangani demensia di negara ini.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika dibawa melawat ke salah sebuah petak jualan sempena simposium berkenaan.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika merasmikan simposium, kelmarin.
Antara warga emas yang hadir pada simposium tersebut.
Persembahan Deklamasi Puisi Islam turut menyerikan simposium.

Beliau juga menjelaskan simposium berkenaan juga dilihat sebagai kesatuan sebuah keluarga yang amat besar dan mendalam seraya menyatakan KKBS sentiasa terus memberikan sokongan dan dorongan kepada golongan warga emas.

Simposium turut diserikan dengan persembahan Deklamasi Puisi Islam dan diiringi dengan persembahan seruling oleh warga PKWE Daerah Tutong.

Simposium dimulakan dengan beberapa pembentangan bertajuk ‘Perjalanan Menuju Kesamarataan Penuaan Usia’ oleh Datin Jacqueline Wong selaku penasihat kehormat

Demensia Brunei dan ‘Pengenalan mengenai Demensia’ oleh Dr Shyh Poh Teo.
Sementara itu, taklimat mengenai ‘Program Kesedaran Elak Jatuh untuk Warga Emas’ telah disampaikan oleh Pegawai Jururawat Tingkat Khas, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Hajah Kartini binti Haji Suhai.

Ceramah bertajuk ‘Keluarga Mahabbah Wa Rahmah’ oleh Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Khairul Nazif bin Haji Awang Damit dan sesi perkongsian daripada sukarelawan Projek Memeduli Warga Emas, Hajah Norgayah binti Haji Dullah turut menyerikan majlis pagi tadi.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya dibawa mengunjungi pelbagai pameran dan jualan di luar Dewan Utama ICC.

Fokus utama sambutan HAWE tahun ini ialah mengenai demensia memandangkan ia adalah sebahagian daripada proses penuaan biasa dan memberi kesan fizikal, psikologi, sosial dan ekonomi.

Sambutan HAWE tahun ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membendung tanda-tanda mengenai demensia. Tidak ada rawatan saintifik bagi demensia tetapi dengan simposium berkenaan, ia dapat melengkapkan komuniti dan masyarakat dengan maklumat yang betul dan membantu mereka yang terkesan.