Kesejahteraan warga emas terus diutamakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pendekatan secara ‘whole of nation’ adalah sangat penting dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas di negara ini, sekali gus membawa kedudukan mereka ke tahap yang lebih baik dalam sama-sama menghadapi dunia yang kini semakin mencabar.

Justeru, penglibatan warga emas melalui Pertubuhan Wargamas dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) merupakan platform yang mustahak dalam memastikan pembangunan warga emas yang produktif dan sihat dalam sama-sama merealisasikan hasrat Pelan Tindakan Warga Emas.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal dan kepentingan warga emas selaku insan yang wajar dihormati dan dijaga.”

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertubuhan Wargamas Brunei kali pertama yang berlangsung di Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, Berakas.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya berkata, walaupun dalam usia Pertubuhan Wargamas yang baharu, kita amat berbesar hati pertubuhan tersebut terus mencatatkan kemajuan dan bergerak ke hadapan, khususnya dalam menyatupadukan golongan warga emas dari keempat-empat daerah untuk menyumbangkan tenaga dan bakti sehingga mencecah hampir 800 orang ahli setakat hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertubuhan Wargamas, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertubuhan Wargamas Brunei yang berlangsung di Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, Berakas.

“Sepertimana yang dikongsikan, kita juga amat menyambut baik usaha pertubuhan untuk terus bersama menjaga kesejahteraan di samping melibatkan golongan warga
emas untuk sama-sama menangani cabaran yang dihadapi, sekali gus menunjukkan komitmen dan potensi tinggi Pertubuhan Wargamas sebagai organisasi yang mampu untuk berdiri sendiri dan berdaya tahan.

“Perkara ini amatlah penting memandangkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah ‘ageing nation’, di mana jumlah penduduk golongan warga emas terus meningkat lebih lapan peratus daripada jumlah penduduk di negara ini,” tambahnya.

Justeru, jelasnya lagi, di sini lah terletaknya kepentingan kesatuan dan kesepakatan untuk bergerak bersama ke arah objektif yang sama, khususnya dalam memartabatkan warga emas. Sebagai mata dan telinga pihak kerajaan, Pertubuhan Wargamas diharap dapat menambah dan meningkatkan usaha-usaha yang sudah dilaksanakan khususnya komitmen dalam sama-sama menangani cabaran semasa termasuk dalam bidang sosioekonomi dan pengangguran.

“Kita sangat menyambut baik kepekaan dan kemahuan ahli Wargamas yang tetap berupaya untuk memberikan sumbangan, terutamanya dalam berkongsi pandangan dan pengalaman bagi membantu pihak kerajaan. Ke arah ini, kita terus komited dalam menyediakan lebih banyak platform bagi warga emas untuk mengongsikan idea-idea seperti forum dan majlis perkongsian ilmu.

“Walaupun ianya platform yang berbeza, di sinilah potensi tinggi bagi Pertubuhan Wargamas untuk bekerjasama dengan PKWE sebagai ruang dan peluang untuk bergiat aktif agar tidak terpinggir. Inilah kelebihan dan kekuatan warga emas, iaitu kesatuan untuk bergerak bersama demi kepentingan golongan emas di seluruh negara,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Di samping tumpuan kepada perkara-perkara strategik, apa yang turut penting menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi ialah keutamaan dalam perkara-perkara yang memberikan impak tersendiri kepada golongan warga emas.

Topik-topik seperti kesihatan, demensia, penuaan aktif dan kepentingan masyarakat untuk memeduli warga emas, jelasnya adalah sangat kritikal dan memerlukan kerjasama rapat untuk disebarluaskan dan dipraktikkan secara efektif.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dato Paduka Haji Mohd Yusof bin Haji Abu Bakar.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh pengerusi majlis, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin dan ucapan dari Yang Dipertua Wargamas, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Kamaluddin.