TRENTON – Kotak kadbod sering dianggap sebagai suatu benda yang hanya digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis barangan.
Namun hakikatnya ia telah lama digunakan sebagai sebuah tempat untuk meletakkan anak damit ketika tidur yang dijamin sangat selamat dan budaya tersebut secara perlahan-lahan telah mula diamalkan di Amerika Syarikat.
Ibu bapa kelihatan mula berasa lebih selesa untuk membawa anak damit yang baru lahir dengan menggunakan kotak kadbod.
Sebuah syarikat yang berasal daripada Los Angeles giat melakukan pelbagai usaha dengan pegawai kesihatan untuk memberikan kotak kadbod secara percuma di mana ia adalah inisiatif online dengan pegawai kesihatan untuk memberikan kotak kadbod secara percuma di mana ia adalah inisiatif untuk mengurangkan kadar kematian mengejut di kalangan kanak-kanak yang berkaitan dengan tempat tidur.
New Jersey dan Ohio adalah beberapa negeri pertama yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Keselamatan anak damit merupakan antara perkara utama yang dititikberatkan oleh ramai golongan ibu,” jelas Chauntia Williams dari Maple Heights, Ohio.
Williams merupakan seorang aktivis yang menyokong program tidur yang selamat dengan penggunaan kotak kadbod selepas anak perempuannya, Aaliyah meninggal dunia hanya pada usia 33 hari, sembilan tahun yang lalu.
“Saya berasa terkejut apabila anak perempuan saya disahkan meninggal dunia akibat lemas sewaktu diletakkan di dalam katil anak damit yang dikelilingi dengan material lembut seperti bumpers, patung binatang dan selimut,” jelas Williams.
Justeru, kini beliau lebih selesa untuk menggunakan kotak kadbod sebagai tempat tidur untuk anak lelakinya, Bryce dan menekankan bahawa para ibu bapa harus mementingkan ciri keselamatan tempat tidur anak-anak.
Kematian anak damit secara mengejut akibat daripada keadaan di tempat tidur seperti lemas dan tercekik adalah semakin meningkat. Justeru, pengamal kesihatan juga bersetuju dengan menyatakan bahawa penggunaan kotak kadbox adalah salah satu pilihan terbaik dan selamat untuk dijadikan sebagai tempat tidur anak damit.
Setiap katil anak damit turut dilengkapi dengan tilam, cadar yang dialas dengan cadar yang tidak mudah terlepas di mana ia jelas menjamin keselamatan anak-anak.
Syarikat Baby Box Co. juga telah mula menyediakan khidmat tempat tidur anak damit yang diperbuat daripada kotak kadbox di Minneapolis, Phoenix dan San Francisco malah berharap untuk terus menyebarkannya ke 50 wilayah di Amerika Syarikat. Malah ia juga telah mula beroperasi di Kanada, Ireland dan United Kingdom.
Menurut Ahli Pediatrik dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Kematian Kanak-Kanak New Jersey, Idea penggunaan kotak kadbox telah mula dipraktikkan di Finland sejak tahun 1930an dan ia merupakan satu langkah terbaik untuk menangani masalah kematian mengejut di kalangan anak damit.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menjelaskan bahawa kadar kematian di kalangan anak damit secara mengejut ditempat tidur mula menurun pada sekitar tahun 1990an apabila pihak kesihatan mula mencadangkan kepada para ibu bapa untuk lebih mengawasi kawasan persekitaran tempat tidur anak damit. Lebih kurang 3,700 anak damit dilaporkan meninggal dunia secara mengejut di tempat tidur dilaporkan di AS pada tahun 2015.
Justeru, kotak kadbox adalah merupakan satu idea terbaru dan terbaik untuk dipraktikkan oleh warga Amerika Syarikat.
“Walaupun ia kelihatan agak aneh untuk meletakkan anak damit yang tidur di dalam kotak namun demi keselamatan ia jelas merupakan satu langkah yang sangat bijak,” jelas Dolores Peterson, salah seorang ibu dari New Jersey yang menggunkan kotak untuk meletakkan anaknya.
Anak perempuan Peterson, Ariabella kini berusia tiga bulan dan beliau menjelaskan bahawa program tersebut jelas berjaya untuk membuka mata ramai pihak terutama ibu bapa untuk terus mencari alternatif terbaik untuk mengelakkan anak damit mereka daripada terlibat dalam tragedi yang tidak diingini.
Bagi mendapatkan kotak kadbox tersebut secara percuma, para ibu harus mendaftarkan diri di dalam laman web yang disediakan, menonton video tutorial mengenai tatacara keselamatan anak damit sekaligus menjawab soalan kuiz yang telah disediakan.
Kemudian para ibu di AS boleh membawa sijil salinan sama ada secara cetakan atau digital untuk menerima kotak tersebut secara percuma dari pihak hospital yang menyertai program tersebut. – AP