Keselamatan aplikasi TransportBN ditingkatkan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Aplikasi TransportBN yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lepas, sememangnya memiliki langkah keselamatan tertentu bagi setiap pengguna dan ia juga semakin dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai satu platform kemudahan orang ramai di negara ini.

“Menerusi aplikasi berkenaan, terdapat dua ciri untuk menjaga keselamatan data peribadi pengguna,” kata Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof semasa menjelaskan berhubung tahap keselamatan maklumat dan data peribadi dalam penggunaan aplikasi TransportBN pada sidang media di Kementerian Kesihatan, petang tadi.

Salah satunya ialah ciri umum yang tidak memerlukan kata laluan (password) para pengguna bahkan tidak menghendaki mereka untuk mendaftar kepada akaun e-Darussalam yang merujuk kepada fungsi ‘search’ dan perkhidmatan NomborKu.

Dalam kedua-dua perkhidmatan tersebut, hanya menyimpan maklumat-maklumat umum yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa seperti nombor kenderaan dan tempoh mansuh yang mengikut warna.

Manakala ciri kedua pula merujuk kepada ciri di mana memerlukan para pengguna mendaftar ke akaun e-Darussalam dan pastinya segala kata laluan dan data maklumat seperti lesen memandu dan cukai jalan juga diperlukan sebelum dapat mengakses bahagian-bahagian tertentu dalam aplikasi tersebut maka dalam hal sedemikian tahap ciri keselamatannya sentiasa diutamakan dan ditekankan dari semasa ke semasa.

“Inilah usaha keselamatan yang begitu perlu diuji dan ditambah baik secara berterusan dengan harapan untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin,” ujarnya lagi.