‘Keselamatan hak setiap pekerja’

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 26 OGOS – Dengan matlamat pembentukannya untuk mengetengahkan kepentingan keselamatan kepada semua industri dan bukan sahaja industri minyak dan gas, Kumpulan HSE Industri (iHSE) telah mula menarik perhatian apabila ahli-ahli utama dari kebanyakan industri di negara ini menyertai kumpulan berkenaan.

Semasa ditemu bual, Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dr Ceri M Powell yang telah dilantik sebagai pengerusi kumpulan berkenaan bagi sesi 2019-2020, telah mengongsikan mengenai perancangan untuk meningkatkan lagi keselamatan industri di negara ini.

“Kami memulakan kumpulan ini di bawah pemimpin-pemimpin yang mempunyai visi di Brunei yang merangkumi ahli-ahli terkemuka dalam industri, dengan wawasan untuk mengembangkan lagi fakta bahawa industri di Brunei dalam proses penting untuk menjadi tempat yang selamat untuk bekerja,” ujar beliau.

Di sebalik perjalanan yang berjaya itu, beliau menyatakan bahawa keselamatan tidak universal dan masih terdapat banyak yang perlu dilakukan.

“Visi kami adalah keselamatan di tempat kerja di mana sahaja tempat kerja itu,” tekannya.

Dr Ceri menjelaskan mengenai wawasan Kumpulan iHSE untuk meningkatkan lagi keselamatan pekerja dalam negara.

Beliau berkata, keselamatan bukan sahaja bagi industri minyak dan gas, yang berada di bawah Major Accident Hazard, tetapi juga semua industri daripada pertanian hingga pembinaan serta bukan industri, yang Dr Ceri tekankan juga sama penting, kerana ini termasuk institut pendidikan dan hospital.

“Kumpulan iHSE meliputi semua, untuk memastikan bahawa keselamatan tetap menjadi keutamaan,” tambahnya.

Ini bermakna, sementara bekerja dalam industri minyak dan gas mempunyai standard HSE yang ketat, beberapa standard berkenaan juga boleh diaplikasikan kepada industri lain. Salah satu contoh yang beliau berikan adalah penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Jelasnya, “Kami mungkin mempunyai PPE khusus dalam industri minyak dan gas, tetapi anda boleh bayangkan bahawa ves kebolehlihatan tinggi adalah elemen PPE yang boleh digunakan bagi setiap pekerja di Brunei, sama ada jika mereka memotong rumput di tepi jalan atau menggali longkang, patut adanya standard yang sesuai bagi risiko yang dihadapi pekerja.”

Oleh itu, peranan utama Kumpulan iHSE bukan sahaja sebagai platform untuk membantu menetapkan standard keselamatan bersama Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), malah untuk menyampaikan dan mendidik syarikat-syarikat yang ingin datang ke Brunei serta syarikat sedia ada, jika mereka ingin memahami standard keselamatan yang dijangkakan untuk bekerja di negara ini.

Satu lagi aspek kumpulan berkenaan yang ditekan Dr Ceri adalah potensi dalam berangkaian dan berkongsi amalan-amalan kesihatan, yang mana menerusi dewan perniagaan yang merupakan sebahagian daripada kumpulan itu, juga membolehkan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diiktiraf dalam mematuhi standard keselamatan yang dijangkakan di negara ini.

Perangkaian dan perkongsian standard keselamatan ini juga diluaskan kepada bukan industri, yang termasuk institut pendidikan, seperti yang beliau sebutkan, “Adakah mereka fokus kepada jenis keselamatan yang sama dan bagaimana mereka boleh saling belajar? Ini mungkin semudah naik dan turun tangga atau kanak-kanak pergi ke perhimpunan, keselamatan dan penyelenggaraan sekolah, mereka kini boleh berkongsi pengalaman sesama mereka antara sekolah-sekolah di negara ini.

“Saya dapat lihat visi apabila kami memulakan perjalanan dalam Kumpulan iHSE yang mana ia bukanlah perjalanan pendek, ia adalah jauh, untuk terus meningkatkan standard keselamatan di Brunei dengan profesionalisme dan semangat. Visi saya (bagi kumpulan) adalah kita mempunyai tata amalan sama (dalam keselamatan) yang sangat jelas dan tepat dengan pengawal atur,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa apa yang dicapai kumpulan itu adalah mengetengahkan keselamatan bukanlah satu pertandingan, sebaliknya hak bagi setiap pekerja untuk merasa selamat apabila mereka datang bekerja setiap hari.

“Saya percaya bahawa visi utama sama adalah Kumpulan iHSE membolehkan setiap pekerja di Brunei sama ada pekerja eksekutif hingga pekerja barisan depan, berasa selamat dengan mengetahui bahawa terdapat badan industri yang memeduli keselamatan mereka,” tambah beliau.

Sejak pengumuman pada November 2019 bahawa kumpulan berkenaan akan dibentuk untuk menilai HSE semasa di seluruh industri dan untuk membangunkan dan menguruskan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSH) yang lebih baik, Kumpulan iHSE telah merancang untuk mengembangkan skopnya untuk lebih fokus dan meliputi pelbagai potensi bahaya kerja.

Ini termasuk bekerja di tempat tinggi, operasi-operasi kren, kesihatan dan keselamatan di institut pendidikan serta PPE. Dengan ahli-ahli yang merangkumi dari pelbagai industri di negara ini terus bertambah, kumpulan berkenaan bakal memulakan operasinya sebaik sahaja pendaftaran bagi kumpulan itu berjaya, yang dijangkakan menjelang hujung tahun ini.