Keselamatan jadi keutamaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Kementerian Pembangunan sentiasa peka dan prihatin akan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di negara ini di mana kementerian berkenaan melaksanakan usaha untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi termasuk jalan raya yang rosak dan kawalan pesisir pantai.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan akan melaksanakan tiga projek iaitu kawalan pesisir sepanjang pantai Kampung Danau, membaik pulih Jalan Serasa dan membekal serta menghantar 37,000 ton metrik kalsium karbonat ke loji-loji rawatan air, Negara Brunei Darussalam.

Majlis menandatangani kontrak bagi projek-projek JKR berkenaan telah diadakan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi projek-projek berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin POKAP DSS Haji Zakaria, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) di Kementerian Pembangunan, Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Alice Lim Sui Kau, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah JKR.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi semasa diberikan penerangan mengenai projek-projek di bawah JKR selepas Majlis Menandatangani Kontrak Bagi Projek-projek Jabatan Kerja Raya di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi menyerahkan dokumen kontrak kepada Dato Paduka Haji Junaidi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi (tengah) menyaksikan majlis penandatanganan kontrak di antara Jabatan Kerja Raya yang diwakili oleh Alice Lim (dua dari kiri) dan Haji Mazlan (kiri) dengan Salishah & Sons (B) Sdn Bhd yang diwakili oleh Dr Haji Mohd Shah (dua dari kanan).

Projek kawalan pesisir sepanjang pantai Kampung Danau telah dianugerahkan kepada Ocean Quarry and Construction Sdn Bhd di mana kontrak berkenaan berharga $5,686,328 dengan tempoh projek selama 72 bulan di mana 12 bulan bagi kerja-kerja pembinaan (beach nourishment) dan 60 bulan kerja penambakan pasir setiap tahun.

Skop kerja meliputi kerja-kerja mengenal pasti sumber pasir, penilaian impak alam sekitar (EIA) dan Pelan Pemantauan dan Pengurusan Alam Sekitar (EMMP), beach nourishment serta penambakan pasir bagi tempoh lima tahun.

Projek itu terletak di Kampung Danau, Mukim Telisai, Tutong di mana ia bermatlamat untuk mengawal dan mengurangkan risiko hakisan pantai serta melindungi tanah lot persendirian serta rumah penduduk-penduduk dan aset-aset kerajaan di sepanjang 1.5 kilometer kawasan persisiran pantai Kampung Danau, Tutong.

Projek itu juga bertujuan untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku dari segi keselamatan awam dan kerosakan harta benda akibat daripada hakisan pantai. Projek itu juga akan dapat membantu dalam mengurangkan risiko hakisan pantai sepanjang 18 kilometer dari pantai Kampung Danau sehingga pantai Kampung Lumut.

Di samping, langkah menstabilkan persisiran, ia juga berpotensi sebagai kawasan rekreasi dan sebagai kawasan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Kontrak bagi projek ditandatangani oleh Alice Lim dan Pemangku Pengarah Saliran dan Pembetungan, Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim bagi pihak JKR manakala itu, Ocean Quarry and Contruction Sdn Bhd diwakili oleh Dato Paduka Haji Junaidi bin POKPSDP Haji Hashim.

Projek membaik pulih Jalan Serasa pula dianugerahkan kepada Salishah & Sons (B) Sdn Bhd yang mana projek itu berharga $6,700,600.50 dengan tempoh projek selama 18 bulan dan skop kerja meliputi kerja-kerja tanah, kerja-kerja menaik taraf dan pelebaran jalan raya, kerja-kerja pembaikan sistem saliran jalan raya serta kerja-kerja pemindahan kabel dan paip servis tepi jalan.

Lokasi projek berkenaan ialah sepanjang Jalan Serasa menuju ke Pantai Serasa dan objektif projek ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan, meningkatkan tahap keselesaan pengguna jalan raya serta untuk menampung bebanan kenderaan berat dari kawasan perindustrian.

Menandatangani kontrak bagi pihak JKR ialah Alice Lim dan Pemangku Pengarah Jalan Raya, Haji Mazlan bin Haji Salim manakala itu, Salishah & Sons (B) Sdn Bhd diwakili Dr Haji Mohd Shah bin Haji Ahmad.

Sementara itu, projek membekal dan menghantar 37,000 ton metrik kalsium karbonat ke loji-loji rawatan air, Negara Brunei Darussalam pula dianugerahkan kepada Syarikat Hj Sanip bin Taram & Anak-Anak Sdn Bhd di mana harga kontrak ialah $3,223,000.00 dengan tempoh projek selama 30 bulan.

Skop kerja termasuk membekal dan menghantar kalsium karbonat ke loji rawatan air (LRA) Bukit Barun, Layong dan Stor Kimia Jabatan Perkhidmatan Air Sinarubai, menyediakan kemudahan penyimpanan bagi kimia berkenaan sekurang-kurangnya bagi jumlah 1,000 metrik ton, penghantaran berjumlah 30,000 metrik ton ke LRA Barun dan Layong.

Selain itu, membuat kerja-kerja penyusunan semula, palleting dan membungkus sebelum dimasukkan ke dalam stor jabatan, membersihkan lebihan kimia yang bertaburan disebabkan beg yang rosak atau pecah sewaktu pemunggahan di pelabuhan, sepanjang perjalanan penghantaran dan di stor jabatan serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penghantaran kimia itu di jalan raya dan keselamatan semasa pengendalian pemunggahan dan penghantaran.

Lokasi projek itu ialah Loji LRA Bukit Barun, Layong dan Stor Kimia di mana ia bermatlamat untuk memastikan baki atau stok kimia berkenaan adalah mencukupi untuk penggunaan berterusan di kesemua loji-loji rawatan air di seluruh Brunei bagi memastikan penghasilan air bersih yang berterusan serta berkualiti mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah ditetapkan.

Menandatangani kontrak berkenaan bagi pihak JKR ialah Dayang Alice Lim dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Air, Dayang Aida binti Haji Abdul Hamid, manakala itu, Syarikat Haji Sanip bin Taram & Anak-Anak Sdn Bhd diwakili Haji Tajuddin bin Haji Sanip.