Keselamatan pemimpin APEC diperketat

SYDNEY, 9 Okt – Kakitangan keselamatan antarabangsa yang menjaga orang-orang kenamaan yang menghadiri mesyuarat pemimpin APEC telah diberi kelonggaran untuk menangani ancaman yang mungkin berlaku, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Papua New Guinea yang bertanggungjawab bagi APEC.

Diluluskan oleh Parlimen Papua New Guinea pada April lepas, ‘klausa matahari terbenam’ Akta Keselamatan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik itu akan berkuat kuasa mulai 9 hingga 19 November dan membenarkan semua pasukan keselamatan asing menggunakan ‘senjata berbahaya’ jika perlu.

“Ini bermakna … jika anda ingin melakukan sesuatu yang tidak masuk akal atau bodoh, anggota keselamatan terbabit akan bertindak balas jika perlu,” kata Justin Tkatchenko kepada media tempatan pada Selasa.

“Jika seorang pemimpin diancam oleh seseorang yang ingin melakukan serangan, dia boleh ditembak,” katanya.

“Jika anda mengacukan senjata ke arah seorang pemimpin, maka situasinya adalah jelas, mereka (kakitangan keselamatan antarabangsa) berhak melindungi pemimpin mereka dan mereka boleh mengambil apa sahaja tindakan yang mereka perlu lakukan,” katanya.

“Sesiapa yang terfikir atau menimbang untuk melakukan tindakan pengganas, kemudaratan atau sebarang jenayah atau tindakan bodoh, mereka akan ditangani bukan sahaja di bawah undang-undang sedia ada malah di bawah Akta Keselamatan APEC yang baharu bagi tempoh 10 hari mesyuarat pemimpin-pemimpin APEC di sini,” katanya. – Bernama

Gambar yang bertarikh 2 April 2018 menunjukkan Justin Tkatchenko ditemu bual oleh pihak media di Moresby, Papua New Guinea. Menurut Justin Tkatchenko, kakitangan keselamatan antarabangsa yang menjaga orang-orang kenamaan yang menghadiri mesyuarat pemimpin APEC telah diberi kelonggaran untuk menangani ancaman yang mungkin berlaku. – Xinhua