‘Keselamatan peserta diberi keutamaan’

BERLIN, 24 SEPT – Mark Milde, pengarah perlumbaan bagi Maraton Berlin, berkata keselamatan akan menjadi keutamaan, berbanding mencipta rekod dunia, bagi perlumbaan yang bakal diadakan pada hujung minggu ini untuk memastikan 25,000 atlet elit dan peserta lainnya menamatkan perlumbaan bebas daripada COVID-19.

Selepas digantungkan selama dua tahun akibat pandemik, perlumbaan tahun ini yang akan diadakan sejauh 42.195km, akan menjadi yang pertama daripada enam perlumbaan maraton utama dunia yang diadakan dengan permulaan besar-besaran sejak koronavirus memaksa pembatalan acara tersebut pada 2020.

Laluan mendatar Maraton Berlin mempunyai reputasi sebagai maraton pantas dengan melalui jalan berliku sepanjang ibu kota Jerman.

Rekod dunia bagi maraton lelaki ketika ini dicatatkan di Berlin tiga tahun lalu ketika pelari Kenya, Eliud Kipchoge mencatatkan masa dua jam, satu minit dan 39 saat.

Ia merupakan kali ke-11 rekod dunia bagi kategori lelaki dan wanita dicatatkan di Berlin.

Larian tahun ini diketuai oleh pelari dari Etiopia, Kenensia Bekele, yang sebelum ini merekodkan masa kurang dua saat dari rekod dunia dipegang Kipchoge ketika Maraton Berlin pada kali terakhir acara itu diadakan pada 2019.

Walau bagaimanapun, Jerman ketika ini berada dalam gelombang keempat jangkitan koronavirus, bagi Milde dan pasukannya, menekankan perlumbaan pada tahun ini kurang mengenai kepantasan dan lebih kepada mengekalkan peserta bebas dari COVID-19.

“Fokus kami masih mengenai sukan, kami mempunyai peserta yang akan memulakan perlumbaan dengan pantas seperti Kenenisa Bekele, akan tetapi kebimbangan utama kami ialah untuk menganjurkan maraton dengan selamat dan kami percaya kami sudah bersedia melakukannya,” kata Milde kepada AFP. – AFP

Mark Milde semasa menghadiri sidang media menjelang Maraton Berlin yang akan diadakan pada hujung minggu ini. – AFP