Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan Rumah Putih ditingkatkan

    WASHINGTON, 19 Mac – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) meningkatkan keselamatan di Rumah Putih lewat semalam setelah seorang lelaki ditahan selepas membuat ancaman di salah satu pintu masuknya, kata seorang pegawai.

    CNN melaporkan bahawa lelaki itu membuat ancaman dia memiliki bom dalam keretanya, dan dia ditahan serta-merta dan kereta yang dipandunya dirampas.

    Presiden Donald Trump berada di Florida pada ketika itu. “Pada 18 Mac 2017 sekitar 11:05 malam, seorang individu memandu sebuah kenderaan menuju pos pemeriksaan Perkhidmatan Rahsia yang terletak di 15th Street dan E Street NW,” kata jurucakap Perkhidmatan Rahsia dalam siri terbaru kebimbangan keselamatan Rumah Putih.

    “Sejurus bertembung dengan individu tersebut, Pegawai Divisyen Beruniform Perkhidmatan Rahsia AS telah menahannya dan mengisytiharkan kenderaannya meragukan. Menurut protokol tertentu, anggota Perkhidmatan Rahsia meningkatkan kedudukan kesediaan mereka,” tambahnya.

    Hanya beberapa jam sebelumnya, seorang lelaki ditahan selepas melompat melepasi rak motosikal dalam usaha untuk sampai ke pagar di luar Rumah Putih, kata Perkhidmatan Rahsia.

    Para pegawai Perkhidmatan Rahsia AS berdiri mengawal Taman Lafayette selepas insiden keselamatan berhampiran pagar Rumah Putih di Washington pada 18 Mac. – AP
    Para pegawai Perkhidmatan Rahsia AS berdiri mengawal Taman Lafayette selepas insiden keselamatan berhampiran pagar Rumah Putih di Washington pada 18 Mac. – AP

    Individu tersebut ditahan serta-merta dan dakwaan jenayah masih ditangguhkan, kata agensi itu dalam kenyataan, tanpa mendedahkan suspek.

    Pegawai Perkhidmatan Rahsia yang bercakap tanpa mahu dikenali berkata orang tersebut tidak ditemui membawa sebarang senjata.

    Penahanan dibuat seminggu selepas lebih banyak insiden serius yang mempersoalkan keselamatan di luar Rumah Putih.

    Hanya sebelum tengah malam pada 10 Mac, seorang lelaki melepasi tiga pengadang di luar Rumah Putih – pagar perimeter, pagar kenderaan dan kemudian pagi seterusnya – dan berjalan di sekitar kawasan rumah eksekutif selama 16 minit sebelum ditahan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda