BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELMIN) tahun ini telah bermula dengan sesi Retreat Menteri-menteri Digital ASEAN yang diadakan pada 28 dan 29 Mac lalu di Phuket, Thailand.
Mewakili Negara Brunei Darussalam pada sesi retreat berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infoko-munikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infoko-munikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim serta para pegawai dari kementerian berkenaan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Dihoskan oleh Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital Thailand, Tuan Yang Terutama Dr Pichet Durongkaveroj, sesi retreat berkenaan membawa tema ‘Kecerdasan Digital ASEAN’ dan menyediakan peluang bagi dialog terbuka dan tidak formal dalam kalangan menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi teknologi maklumat dan komunikasi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, sesi tersebut memfokuskan kepada dua bidang utama iaitu keselamatan siber dan ekonomi digital, pada masa yang sama juga menyediakan platform bagi perbincangan mengenai peluang-peluang dan cabaran daripada Revolusi Industri ke-4.
Sidang menteri juga memberikan panduan meluas yang termasuk ekosistem digital yang lebih kondusif bagi penglibatan lebih meluas oleh orang awam dan sektor swasta dalam ekonomi dan masyarakat digital.
Kenyataan menjelaskan, sesi berkenaan adalah hasil daripada Mesyuarat TELMIN ke-18 yang telah diadakan di Bali, Indonesia pada Disember tahun lalu.
Di samping sesi itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib juga telah mengadakan perbincangan dua hala bersama rakan sejawatannya, TYT Dr Pichet Durongkaveroj, mengenai meneroka bidang-bidang kerjasama berkepentingan bersama dalam isu-isu berkaitan dengan ekonomi digital.






























