Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesempitan hidup dorong Fariz berjaya

    Biarpun diuji kesempitan hidup hingga pernah tidak berduit serta hanya mengalas perut dengan mi segera, penyanyi kelahiran Singapura, Fariz Jabba, tidak sesekali meraih simpati.

    Kepayahan sebaliknya memberi Fariz atau nama sebenarnya, Muhammad Fariz Abdul Rashid, cetusan idea menghasilkan lirik lagu berjudul Ape Sia.

    Ape Sia bercerita mengenai kisah hidup saya yang ditimpa kesusahan, tidak berduit dan hanya mampu makan mi segera sebelum berjaya.

    “Ketika itu, hidup saya sangat susah tetapi ia tidak menghalang saya berkarya hingga tercetusnya lirik lagu ini,” katanya kepada media.

    Fariz, 23, berkata, dia tidak suka meraih simpati dengan menghasilkan lagu atau lirik sedih, mendayu dan meruntun perasaan.

    “Bagi saya, hidup bukan untuk bersedih, Saya tidak akan sesekali bersedih dan merintih. Saya lebih suka berusaha menggembirakan diri dengan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan… Mereka sumber kekuatan saya.

    “Setiap hari, saya tidak lupa berdoa dan bersyukur kehidupan semakin berubah. Kejayaan tidak pernah membuatkan saya lupa kepada keluarga terutama ibu dan rakan-rakan,” katanya.

    Bakat Fariz mula dikesan melalui laman sosial selepas kerap memuat naik video pendek rap dan remix sehingga tular. Malah, namanya ‘trending’ di Singapura dan Malaysia.

    Keupayaan Fariz ‘dihidu’ penyanyi rap terkenal tanah air, Joe Flizzow. Tertarik dengan bakat anak muda itu, Joe mengundangnya menyertai program 16 Baris yang disiarkan saluran YouTube bekas anggota kumpulan Too Phat itu. – Agensi

    Fariz Jabba bernaung di bawah label Def Jam Asia Tenggara. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda