Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesengsaraan menanti pembelot Korea Utara

    BANGKOK, 10 Mac – Bagi rakyat Korea Utara yang cuba lari ke negara lain untuk membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan diktator di negara sendiri, kehidupan penuh sengsara menjadi ganjaran sekiranya usaha mereka itu menemui kegagalan.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beratus-ratus rakyat negara itu menggadai nyawa dengan menyeberangi Sungai Tumen yang memisahkan Korea Utara dan China untuk memulakan kembara penuh berbahaya, dengan harapan untuk akhirnya sampai ke Korea Selatan.

    “Mereka tahu, sekiranya tertangkap, mereka berdepan hukuman berat, termasuk dihumban ke ‘Gulag, kem kerja berat seperti yang terdapat pada era pentadbiran Soviet,” kata Tomoharu Ebihara daripada Persatuan bagi Menyelamatkan Mangsa Culik Korea Utara (ARNKA) yang berpangkalan di Thailand kepada Bernama baru-baru ini.

    Dalam sesetengah kes, kata warganegara Jepun itu, hukuman mati menanti mereka yang ditangkap ketika cuba meninggalkan negara komunis tersebut secara haram.

    Menurut beliau, jumlah mereka yang berpaling tadah menurun sejak Kim Jong-un mengambil alih pentadbiran negara itu daripada mendiang bapanya apabila beliau mengarahkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang cuba melarikan diri dari negara itu.

    “Beliau (pemimpin Korea Utara itu) juga memerintahkan agar pemantauan dan rondaan lebih ketat dilakukan di sempadan Korea Utara-China sebagai langkah menghalang pergerakan mereka yang berniat untuk berpaling tadah,” kata Ebihara.

    Menurut beliau, setelah berjaya menye-berangi Sungai Tumen, yang memisahkan Korea Utara dan Wilayah Jilin di China, mereka yang melarikan diri itu akan tinggal dan bekerja di wilayah itu atau meneruskan perjalanan ke wilayah Yunnan di selatan negara itu.

    “Dari wilayah Yunnan di selatan China, ada juga pembelot yang masuk ke Laos dan meneruskan perjalanan ke Sungai Mekong, yang memisahkan Thailand dan Laos,” katanya bagi menerangkan tentang laluan yang biasanya digunakan rakyat Korea Utara yang lari dari negara mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda