Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT – Menanamkan kesedaran untuk tidak terlalu bergantung kepada membeli sayur-sayuran dan menyedari bahawa memakan sayur-sayuran merupakan salah satu cara hidup yang sihat, satu kumpulan yang terdiri daripada pesara dan tinggal di kawasan perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STRKJ) Lorong Tiga Seria telah bersepakat untuk mengusahakan sebuah kebun sayur-sayuran di kawasan tanah lapang kampung berkenaan.
Pengasasnya, Haji Lamat bin Haji Wahab, 66, bekas anggota polis, berkata kepada Media Permata baru-baru ini bahawa idea untuk mengusahakan kebun itu tercetus apabila selepas mereka mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan tanah lapang yang semak dan dibanjiri dengan sampah yang dibuang. Haji Lamat kemudiannya membersihkan satu kawasan kecil kemudian mula menanam sayur labu kuning di tanah tersebut yang dianggarkan berkeluasan 20 ke 40 kaki.
Menurutnya lagi, selepas sahaja melakukan aktiviti gotong royong itu, beliau terfikir untuk melakukan kegiatan berkebun di kawasan tanah kosong tersebut yang mana hasilnya boleh dijadikan untuk keperluan sendiri malah ia juga boleh dimanfaatkan untuk orang ramai yang datang ke kebun tersebut dan meminta sayur-sayuran yang boleh dipetik.
Menarik minat yang lain
Usahanya itu kemudian turut menarik minat beberapa orang pesara lainnya, dan turut membersihkan kawasan masing-masing seterusnya mula bertanam pelbagai jenis tanaman sementara seperti Jagung, Tebu, Kacang Panjang, Terung, Peria, Labu Kuning, Labu Putih dan sebagainya, sehingga hari ini, seluas kira-kira empat ekar tanah lapang berkenaan telah dipenuhi dengan tanaman kumpulan pesara di kampung tersebut.


Setakat ini seramai hampir 20 orang kalangan pesara yang mengusahakan kebun di tanah simpanan itu, dan menurut mereka, fokus utama usaha itu, adalah untuk mencantikkan kawasan kampung, selain menghindari daripada tanah itu terbiar di tumbuhi rumput liar serta dijadikan tempat pembuangan sampah. Selain itu untuk membantu mengurangkan perbelanjaan membeli sayuran untuk keperluan sendiri dan untuk menarik minat supaya lebih ramai dalam kalangan penduduk kampung yang akan mengusahakan tanaman sama ada di tanah-tanah lapang yang terbiar ataupun di kawasan rumah mereka sendiri.
Haji Lamat berkata bahawa setakat ini segala benih dan baja dibeli sendiri daripada pengedarnya di Sungai Liang, manakala saluran air pula mereka sendiri dapatkan melalui saluran air yang berdekatan dan kadang kala mereka terpaksa mengangkat sendiri air tersebut dari rumah mereka. Bagi menghindari kebun tersebut dimasuki oleh binatang liar, para pesara ini juga secara bergotong royong membuat pagar di kawasan kebun dengan menggunakan buluh yang tumbuh liar.


Sementara itu Awang Saidin bin Bakar, pula berkata bahawa mereka juga bercadang untuk belajar dengan lebih mendalam dalam bidang tanaman di Jabatan Pertanian, dan berharap jabatan tersebut dapat juga memberikan nasihat kepada mereka tentang penggunaan baja atau benih yang lebih baik, dan jika usaha mereka itu mencapai kejayaan yang lebih meluas, mereka juga sudah sepakat untuk memohon tanah untuk diusahakan dengan lebih serius supaya dapat dijadikan sebagai ekonomi pendapatan dengan menjadikannya sebagai produk yang boleh di pasarkan sama ada di kawasan kampung ataupun ke tempat lain.
Dorongan dan semangat berkebun
Antaranya yang terlibat dalam kegiatan itu ialah Awang Belle Tengah, Awang Karim bin Tuah, Awang Madeli bin Haji Muharam dan banyak lagi, dan aktiviti berkebun mereka dilakukan setiap pagi bermula kira-kira jam 8pagi, dan di sebelah petang kira-kira jam 5petang.
“Apabila tanaman kami sudah tumbuh subur dan menghasilkan buah, minat dan semangat berkebun semakin tinggi, dan Alhamdulillah sudah semakin ramai yang mengikut jejak kami, termasuk penghuni-penghuni di kawasan Barek Lorong Tiga, dengan adanya usaha berkebun kawasan kampung menjadi cantik, tidaklah tinggal semak samun kerana rumput tinggi dan sebagainya, dan ini adalah usaha yang kami rasakan bermanfaat bukan saja untuk keperluan sendiri, malahan kadang-kadang hasil tanaman kami ini juga kami hadiahkan kepada rakan-rakan, jiran-jiran tetangga dan sebagainya” kata Awang Karim bin Tuah.
Selain untuk menarik minat kalangan pesara, mereka juga berharap supaya usaha seperti itu dapat turut menarik minat di kalangan generasi muda, yang masih belum mempunyai sebarang pekerjaan untuk sama-sama melibatkan diri, sedikit sebanyak akan dapat membantu pendapatan jika sekiranya hasil tanaman dapat dijual secara kecil-kecilan.