Kesepakatan kunci utama ASEAN

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – ASEAN merupakan sebuah keluarga besar yang bukan sahaja melakukan banyak perkara bersama, malahan berunding antara satu sama lain sama ada mengenai salah satu ahlinya atau mengenai rantau itu dan keunikan ASEAN ini adalah kesepakatan yang menjadi kunci utama ASEAN.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof pada sidang media online kelmarin.

Menurutnya lagi, keunikan itu masih dikekalkan sehingga ke hari ini dan pada masa akan datang. Isu-isu berbangkit tetap ada dalam ASEAN, sama ada Myanmar atau Laut China Selatan. Namun apa sahaja perkara, ia adalah peranan pengerusi ASEAN untuk mengemudinya mengharungi saat-saat sukar ini, tambahnya.

Sehubungan itu, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Negara Brunei Darussalam mampu mengendalikannya, kata Yang Berhormat Dato.

Menyentuh mengenai pengesahan pemimpin ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan pada 26 sehingga 28 Oktober secara maya, beliau mengatakan persetujuan secara lisan telah diperolehi dan para pemimpin tidak berdepan masalah dengan tarikh tersebut.

“Namun dengan perkemba-ngan baharu selepas mesyuarat menteri-menteri luar berakhir pada 4 Oktober lalu, ASEAN perlu berunding dan mencari jalan untuk melangkah ke hadapan,” tambahnya.

Menyentuh mengenai sumbangan dan pertukaran vaksin dari Singapura, Australia, China dan Jepun serta peranan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Yang Berhormat Dato mengatakan kementerian-kementerian bekerjasama memerangi COVID-19 dalam kapasiti mereka.

“Kami di kementerian ini menghubungi rakan luar negara bagi mendapatkan vaksin lebih pantas dan saya gembira dapat menyumbang tenaga dalam pendekatan menyeluruh kerajaan serta terus menawarkan bantuan dalam cara apa sekalipun.

Beliau turut mengongsikan mengenai akses vaksin di COVAX yang terjejas dengan tempahan tinggi dan beberapa negara sukar mendapatkan vaksin pada masa dan jumlah yang dikehendaki.

Sebahagian negara yang menempah banyak, memutuskan untuk menyumbangkannya kepada negara yang belum menerimanya.

Menurutnya, Brunei sedang menunggu pembelian vaksin melalui Tabung Respons COVID-19 ASEAN sekitar AS$10 juta yang akan diagihkan sama rata antara negara-negara ASEAN dan pembelian dos vaksin antara 100,000 sehingga 150,000 dos vaksin bergantung ke atas apa yang dipilih oleh ahli ASEAN.

Bagi usaha-usaha pemulihan pula, Brunei juga menunggu Rangka Kerja Persetujuan Koridor Perjalanan ASEAN yang akan mengambil kira status vaksinasi ahlinya dan cara mengesahkan ketulenan sijil vaksin digital.