Keserasian Lee Dong Wook dan Wi Ha Joon bukan dibuat-buat

Pelakon popular Lee Dong Wok sekali lagi menunjukkan sisi keserasian bersama pasangan gandingannya aktor Wi Hajoon menerusi drama terbaharu berjudul Bad and Crazy.

Lee menerusi sidang media Bad and Crazy memuji komitmen yang ditunjukkan Wi Hajoon dalam menjayakan drama itu dan mudah memberikan kerjasama.

“Kami memang ‘ngam’ di set sehinggakan saya selalu berasakan kami ibarat orang yang sama.

“Saya akan berikan pelbagai pendapat dan beliau mendengar segalanya. Sangat mudah untuk kami bekerjasama. Melihat kami jadi sahabat akrab memang terasa ia tidak dibuat-buat,” ujar Lee.

Sementara itu, Wi Hajoon yang terkenal menerusi siri Squid Game berkata, keakraban yang ditunjukkan dalam drama itu bukan lakonan sebaliknya mereka kini sahabat sebenar.

Dia juga memasang impian untuk memenangi Pasangan Terbaik di Baeksang Arts Awards.

“Sememangnya pada awalnya, watak saya dan Lee memang tak sebulu. Tapi lama-kelamaan, kami menjadi sahabat sejati yang sama-sama memperjuangkan keamanan.

“Impian saya untuk kami memenangi trofi Pasangan Terbaik pada Anugerah Seni Baeksang. Begitulah sepadunya keserasian antara kami.

“Kalau saya perlu rumuskan hubungan saya dan Lee, kami adalah sahabat sebenar.” – Agensi

Lee Dong Wok (kiri) sekali lagi menunjukkan sisi keserasian bersama pasangan gandingannya aktor Wi Hajoon menerusi drama terbaharu berjudul Bad and Crazy. – Agensi