Kesiapsiagaan dan pendekatan senegara tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Sim Y.H. dan Muiz Matdani

Negara Brunei Darussalam terus berwaspada dan bersiap sedia bagi gelombang pandemik masa akan datang dengan menggunakan kaedah pendekatan senegara atau Whole of Nation Approach dalam menangani pandemik COVID-19.

Ke arah itu, penekanan terus diberikan kepada ujian, pengesanan kontak serta mengasingkan kes, pengagihan cepat vaksin yang selamat dan efektif secara berfasa, pendidikan kesihatan, memastikan kedayatahanan perkhidmatan kesihatan untuk mengurus peningkatan dalam kes serta melindungi golongan yang terdedah.

Usaha dan kesiapsiagaan negara dalam menangani pandemik COVID-19 itu diketengahkan oleh Ketua Bahagian Kesihatan Cara Kerja, Kementerian Kesihatan, Dr Alice Lai ketika menyampaikan ucaptama mengenai respons kepada COVID-19 di Negara Brunei Darussalam semasa Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2021 (MKK2021), Jabatan Kerja Raya yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Lapangan Terbang Lama, Berakas baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan perlunya bagi setiap pihak untuk terus mengamalkan sikap berwaspada dan peka akan perkembangan semasa dalam usaha berterusan untuk mengekang dan menangani penularan pandemik COVID-19.

Terdahulu, Dr Alice Lai memberikan penerangan mengenai langkah-langkah kawalan utama yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan yang berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 termasuk ujian bagi virus SARS-CoV-2, pengesanan kontak, pengasingan dan rawatan bagi kes-kes yang disahkan di Pusat Pengasingan Kebangsaan serta penjarakan fizikal dan sosial.

Pendekatan senegara mampu menangani penularan pada awal jangkitan di negara ini.
Dr Alice Lai memberikan penerangan mengenai dengan respons kepada COVID-19 di Negara Brunei Darussalam semasa Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2021 (MKK2021), di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, baru-baru ini.
Aplikasi BruHealth banyak membantu negara memantau penularan COVID-19.
Antara sebahagian yang sudah divaksin di negara ini, dalam Strategi Vaksinasi Kebangsaan 2021 dengan sasaran 70 peratus penduduk diinokulasi pada penghujung tahun ini.

Beliau menerangkan bahawa sehingga 4 Jun 2021, sebanyak 244 kes telah disahkan di Negara Brunei Darussalam sejak kes positif pertama yang dicatatkan pada 9 Mac 2020 dan daripada jumlah kes berkenaan sebanyak 124 kes merupakan kes jangkitan tempatan manakala 103 kes jangkitan import.

Menurutnya, sehingga 4 Jun juga, seramai 234 orang telah sembuh dan masih ada 7 kes aktif dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, sebanyak 131,139 ujian telah dijalankan serta 513 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori.

Dr Alice Lai juga menerangkan bahawa sejak kes jangkitan pertama COVID-19 dikesan, kerajaan telah juga memperkenalkan langkah-langkah penting untuk mengekang penularan COVID-19 termasuk penutupan sekolah, larangan perhimpunan atau perkumpulan ramai, larangan perjalanan keluar negara bagi penduduk Brunei, penutupan panggung wayang dan muzium, makan di dalam restoran serta pengasingan mandatori 14 hari bagi sesiapa yang memasuki Brunei.

Menurutnya, tidak ada sekatan penuh atau larangan pergerakan dilaksanakan yang menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam kebangsaan yang ketat bersama dengan ujian, pengesanan dan pendekatan pengasingan mantap dapat mengawal gelombang pertama penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Selain daripada itu, kawalan tambahan semasa penularan berkenaan yang diperkenalkan termasuklah pemeriksaan suhu badan di pintu-pintu masuk premis-premis bangunan, melaporkan kepada pihak pengurusan jika tidak merasa sihat atau mempunyai simptom selesema, meningkatkan amalan-amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, penjarakan fizikal semasa mesyuarat berkumpulan, meningkatkan penggunaan e-komunikasi, pelaksanaan kelangsungan perniagaan untuk memastikan kelangsungan operasi di tempat kerja serta menguruskan kerja bagi kakitangan yang terdedah atau berisiko tinggi seperti kerja dari rumah atau penempatan kerja semula sementara.

Dr Alice Lai turut menyatakan pengalaman yang dilalui semasa menangani penularan pandemik COVID-19 juga telah menyaksikan perkembangan penggunaan teknologi terkini termasuk memperkenalkan penggunaan aplikasi mudah alih, BruHealth, bagi mengekang penularan COVID-19.

Aplikasi itu mengetengahkan beberapa ciri penting yang banyak membantu menangani penularan COVID-19 termasuk menyediakan ciri pengesanan kontak, menyedia kod QR bagi membolehkan orang ramai menghadiri solat fardu Jumaat, penilaian kesihatan diri harian serta nasihat kesihatan.

Menerusi pengalaman melalui pandemik COVID-19, Dr Alice Lai berkongsi penyampaian maklumat yang tepat serta komunikasi risiko kepada orang ramai memainkan peranan yang amat penting dan salah satu usaha untuk memberikan maklumat yang telus, tepat dan cepat adalah menerusi sidang media harian yang dikendalikan pada awal penularan pandemik COVID-19.

Semasa sidang media berkenaan, pelbagai maklumat serta persoalan yang dikemukakan bukan sahaja daripada pihak media tetapi orang ramai juga dapat diberikan penerangan bagi memastikan maklumat yang tepat boleh sampai kepada masyarakat.

Selain daripada itu, penggunaan kaedah komunikasi bukan tradisional seperti media sosial juga dilaksanakan untuk memberikan maklumat terkini yang tepat kepada masyarakat dan memberikan sokongan kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga sedang melaksanakan Strategi Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 di mana Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mencapai vaksinasi bagi 70 peratus penduduk negara yang layak menerima vaksin COVID-19 pada hujung 2021.

Beliau menjelaskan bahawa vaksinasi berkenaan diadakan secara berfasa dengan fasa kedua dijadualkan untuk bermula pada suku kedua atau ketiga 2021 di mana ia adalah bagi individu yang mempunyai risiko sederhana dan bagi pekerja utama penting lainnya. Manakala itu, fasa ketiga iaitu bagi orang ramai vaksinasi dijadualkan akan bermula pada suku ketiga atau keempat 2021.