Oleh Nurdiyanah R.
MAJU atau mundurnya sesebuah negara itu pastinya bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan rakyat dan penduduknya dalam mencapai pembangunan negara meliputi pelbagai aspek sama ada sosial, agama, pendidikan dan juga ekonomi yang dinamik dan mapan setanding dengan negara-negara yang maju dan membangun.
Oleh yang demikian, untuk merealisasikan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjayakan Wawasan Negara 2035 dan mempertahankan gagasan negara sebagai sebuah Negara Zikir, maka adalah menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat di negara ini untuk bersama-sama menitikberatkan amalan penjagaan kesihatan yang baik dalam kehidupan seharian.
Ini kerana masyarakat yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama, serta adanya nilai keBruneian yang tinggi dan sekali gus menjadikan mereka sebagai sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif.
Oleh itu, sebagai matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini supaya memperkasa amalan cara hidup sihat secara berterusan dalam kehidupan seharian, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Tutong dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Tutong telah mengadakan Program Mukim Sihat bagi Mukim Pekan Tutong di Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi merasmikan program tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslina binti Haji Ramlee, yang antara lain menyertai aktiviti senaman tai chi serta walkaton semasa program berkenaan.


Menyemai budaya gaya hidup sihat
Adapun antara objektif utama Program Mukim Sihat ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai isu-isu kesihatan seperti penyakit-penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta memberi maklumat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan untuk orang ramai di hospital dan pusat-pusat kesihatan, perkhidmatan pergigian, klinik mata dan sebagainya.
Di samping itu, program berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat bahkan ia juga mampu memupuk kerjasama antara pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dengan pihak swasta dan orang ramai agar bersama-sama memberi komitmen dalam menerapkan gaya hidup sihat sebagai budaya kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti dan acara telah dimuatkan sepanjang program tersebut antaranya sesi senaman tai chi; walkaton sejauh 3 kilometer; berbasikal dan senam robik; pemeriksaan kesihatan; pameran kesihatan dari agensi kerajaan, swasta dan badan persatuan bukan kerajaan (NGO) dan juga penjualan produk-produk kampung.
Melalui program tersebut, wartawan Minda juga tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mengikuti dan menerokai pameran dan aktiviti yang diungkayahkan oleh pelbagai pihak yang mana ia sememangnya mampu membuka pemikiran masyarakat agar mengetahui betapa pentingnya menjaga kesihatan diri dan juga ahli keluarga yang lain demi melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan juga mental.
Sentiasa bergerak aktif
Salah satu pameran mengenai pendidikan kegiatan fizikal yang disediakan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, turut menyerikan suasana program tersebut.
Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Ummi Salmah binti Arrif menekankan bahawa masyarakat tidak kira golongan kanak-kanak, dewasa mahu pun warga emas perlu sentiasa mengutamakan kesihatan dalam menjalani kehidupan seharian iaitu dengan melakukan kegiatan fizikal selama 30 minit dalam sehari; iaitu sekurang-kurang lima kali seminggu atau pun 150 minit dalam seminggu bagi golongan dewasa manakala bagi golongan remaja dan kanak-kanak pula sebaik-baiknya 60 minit sehari.
Antara aktiviti senaman yang dapat dilaksanakan di rumah persendirian adalah seperti berjalan cepat dalam rumah atau turun naik tangga tetapi mestilah dengan berhati-hati, senaman squad, push-up, sit-up atau pun senaman setempat.
“Diharap dengan adanya program sebegini, orang ramai dapat memahami bahawa dengan melakukan kegiatan fizikal ini dapat membantu dalam mengurangkan risiko-risiko penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta juga dapat membantu membakar kalori atau lemak dalam badan. Ini kerana dalam proses kegiatan fizikal, ia secara langsung dapat menurunkan berat badan seseorang,” tambahnya lagi.



Manakala salah seorang jurulatih senaman zumba dari GMSS Cycle & Fitness Studio Management yang mengetuai semasa program tersebut, Dayang Norhaffeny binti Haji Abdul Wahab turut menyarankan aktiviti zumba tidak semestinya dilakukan setiap hari bahkan adalah wajar jika ia dilakukan sebanyak dua hingga tiga kali dalam seminggu.
Apa yang penting kita mestilah sentiasa menjaga gaya pemakanan kita dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta memperbanyakkan untuk meminum air putih demi bagi menjadikan diri kita sihat dalaman dan juga luaran.
Penyakit demensia bukanlah penuaan semula jadi
Selain itu, salah sebuah persatuan bukan kerajaan yang baharu sahaja ditubuhkan pada bulan Mac 2018 lalu, Persatuan Demensia Brunei juga turut serta dalam memeriahkan program kesedaran kesihatan berkenaan yang mana telah menekankan mengenai penyakit demensia.
Menurut Naib Presiden persatuan tersebut, Dayang Irnawati binti Haji Mahir demensia ini dikenali dalam kalangan masyarakat Brunei sebagai ‘lali’ yang mana ia sebenarnya bukanlah sebahagian daripada penuaan semula jadi bahkan ia merupakan sesuatu penyakit otak yang boleh mengakibatkan kemerosotan mental yang menganggu aktiviti harian seseorang.
Dalam kata lain, ia merupakan sesuatu penyakit yang terjadi kepada fungsi otak atau apabila kerosakan yang terjadi pada bahagian dalam otak sehingga kemudiannya akan menjejaskan ingatan seseorang seperti tidak dapat mengenali seseorang.
Jelas beliau lagi, terdapat tiga jenis utama penyakit demensia iaitu Alzheimer, Vaskular Demensia dan Lewy Bodies Demensia.
Penyakit Alzheimer adalah kehilangan ingatan pada jangka yang pendek dan juga panjang.
Vaskular Demensia pula kebiasaannya terjadi disebabkan oleh strok iaitu sehingga terjadinya kehilangan ingatan yang mengejut dan drastik.
Manakala keadaan apabila seseorang itu berhalusinasi visual seakan-akan sering melihat sesuatu atau seseorang namun hakikatnya ia tidak wujud dinamakan sebagai sejenis penyakit Lewy Bodies Demensia.
Oleh kerana fungsi otak sudah berkurangan maka akan menimbulkan lagi gejala seperti mudah terjatuh atau postur yang bukan biasa dan juga mengalami kehilangan ingatan. “Dengan adanya program kesihatan sebegini, sememangnya menjadi satu platform yang sangat baik dan perlu untuk diteruskan dari masa ke semasa untuk masyarakat di negara ini mengetahui akan isu-isu kesihatan khususnya penyakit demensia. Oleh itu, adalah perlu kita sebagai individu untuk mengetahui mengenai penyakit ini agar kita dapat membantu mereka yang mengalami penyakit ini dengan sebaik-baiknya, di samping sebagai bekalan atau persediaan kita pada masa akan datang. Perlu diingat bahawa penyakit ini bukanlah hanya terjadi kepada golongan yang sudah lanjut usia namun ia juga boleh terjadi kepada mereka yang berusia lebih muda,” ujar beliau dengan nada penuh harapan.


Antara tanda-tanda demensia itu ialah seseorang yang sering mengasingkan diri, sukar untuk menyelesaikan tugasan biasa atau rutin, perubahan personaliti dan emosi, mengalami permasalahan dengan bahasa dari segi percakapan dan tulisan, keupayaan untuk menilai terjejas dan sukar untuk mengingati barang yang telah diletakkan sebelumnya.
“Janganlah menganggap penyakit demensia ini hanya merujuk kepada masalah yang hanya dipikul oleh Kementerian Kesihatan semata-mata, hakikatnya ia juga melibatkan hal ehwal kemasyarakatan atau sosial yang mana kita perlulah berganding bahu bersama pihak kerajaan agar mengurangkan risiko penyakit ini dalam kalangan masyarakat di negara ini dari semasa ke semasa. Apa yang penting, kita mestilah menjaga kesihatan dan perlu diingat bahawa apa yang baik untuk hati dan jantung kita adalah baik untuk kesihatan otak kita,” tambahnya dengan senyuman manis.
Ketidakupayaan fizikal bukanlah suatu halangan
Manakala salah seorang mahasiswi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengikuti projek Secure Holistic Awareness by Providing Education for the Community (S.H.A.P.E The Community), Dayang Siti Munirah binti Awang Muhamad menjelaskan secara ringkas bahawa S.H.A.P.E ini merupakan salah satu projek yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap individu berkeperluan khas atau orang kelainan upaya (OKU) dan sekali gus untuk mendidik orang awam mengenai ketidakupayaan fizikal serta mengumpul dana untuk Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA).
“Selain dari pameran mengenai aktiviti-aktiviti PAPDA, orang ramai yang hadir turut berpeluang untuk menceburi dunia kesukarelawanan dalam bidang ini. Oleh itu, dengan adanya acara sebegini, saya berharap masyarakat akan lebih menyedari mengenai PAPDA dan anggota-anggotanya yang kelainan upaya dengan memahami bahawa sememangnya mereka juga seperti insan biasa yang memiliki keupayaan yang tersendiri dan bukannya dilihat sebagai golongan yang ketidakupayaan,” jelasnya lagi yang sedang menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Sains Kesihatan (Perubatan), Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB) dalam Tahun 3 dengan penuh keyakinan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.
Dalam pada itu, bersama-samalah kita beringat bahawa keluarga yang sihat merupakan tonggak penting dalam melahirkan individu dan masyarakat sejahtera.
Dengan kata lain, kesejahteraan individu secara fizikal dan juga mental boleh membantu untuk membina masyarakat yang makmur dari segi sosial, agama, pendidikan dan ekonomi.
Oleh yang demikian, secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan sebagai budaya oleh lapisan masyarakat demi untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas serta semailah dalam diri sikap ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya’ dalam menjalani kehidupan seharian.