Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    ‘Kesihatan Mental Guru dari Perspektif Islam’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Persidangan Hari Guru Tahun 2022 diteruskan lagi pada petang hari ini dengan sesi pleno bertajuk ‘Kesihatan Mental Guru dari Perspektif Islam’ yang disampaikan oleh Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Sesi pleno itu mengongsikan rawatan kesihatan mental mengikut tradisi dan Islam sebagai usaha meningkatkan kesihatan mental guru. 

    Di samping itu, Dr Haji Adanan turut menyentuh mengenai terapi rohani untuk meningkatkan tahap kesihatan mental dalam kalangan guru ke arah membentuk guru yang berdaya tahan dan profesional di negara ini.

    Beliau menjelaskan bahawa antara tanda-tanda guru yang mempunyai kesihatan mental yang baik ialah guru yang mudah senyum dengan ramah dan ceria, selalu bersangka baik, bekerjasama dengan baik, menyenangkan hati orang, suka menolong, interaksi sopan, rendah hati dan hormat, patuh aturan, selalu bersyukur, sabar, rajin dan mudah mendengar nasihat.

    Sementara itu, antara faktor masalah mental dalam kalangan guru atau pelajar adalah kewangan termasuklah disebabkan tanggungan hutang yang banyak, mempunyai masalah kesihatan, masalah keluarga, masalah kawan, tekanan tempat kerja, resah, kegagalan dan gangguan makhluk halus.

    Beliau pada masa yang sama turut mengongsikan beberapa perkara asas yang perlu dilakukan oleh seorang guru dalam usaha memelihara kesihatan rohani, antaranya dengan tidak meninggalkan solat malah dianjurkan solat secara berjemaah terutama sekali bagi lelaki untuk melakukan solat berjemaah di masjid.

    Dengan mengerjakan solat nescaya akan sihat mentalnya dan sebagai pengubat imannya, jelas Dr Haji Adanan lagi. Selain itu, beliau juga menyenaraikan beberapa amalan kerohanian lain yang turut digalakkan untuk dilakukan termasuklah amalan membaca wirid selepas solat, doa harian, Qunut Nazilah, zikir siang dan malam.

    Kira-kira 500 orang guru dan pendidik dari sekolah-sekolah rendah, menengah dan pusat-pusat tingkatan enam di sektor kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan institusi-institusi pendidikan tinggi menyertai persidangan berkenaan.

    Dr Haji Adanan membincangkan mengenai kesihatan mental guru semasa sesi pleno tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...