Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kesihatan mental penting untuk kehidupan berkualiti

    Oleh Nurdiyanah R.

    Mungkin ramai di antara kita masih tidak sedar akan kepentingan kesihatan mental dalam menjalani kehidupan seharian.

    Berkualitinya kehidupan harian kita semuanya kerana kita memiliki mental yang sihat mampu menghadapi pelbagai cabaran hidup dan sikap positif terhadap diri sendiri.

    Stigma masyarakat sering menganggap masalah kesihatan mental ini merujuk kepada gila, namun hakikatnya stres, ganggunan keresahan, insomnia dan kemurungan juga merupakan antara penyakit mental yang boleh memudaratkan diri seseorang.

    Isu kesihatan mental kini menjadi tren global yang semakin membimbangkan. Menurut laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka yang menderita gangguan kesihatan mental semakin berleluasa di seluruh dunia.

    Hal ini jelas berlaku dari tahun ke tahun, lambakan berita pembunuhan, kes bunuh diri dan peristiwa tragis membabitkan isu kesihatan mental kian menjadi suatu perkara yang membimbangkan kini bukan sahaja di negara kita, bahkan juga di seluruh dunia.

    Isu kesihatan mental kini menjadi trend global yang semakin membimbangkan.
    Insomnia pula berkaitan dengan masalah kesukaran untuk tidur atau tiada keupayaan untuk mendapat tidur yang mencukupi dan lena yang mana ia secara tidak langsung boleh memberi kesan pada mental dan fizikal individu.
    Melakukan aktiviti riadah atau senaman, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, sentiasa berfikiran positif, mendapatkan tidur yang mencukupi antara perkara yang dapat mengatasi masalah kesihatan mental.

    Tanda-tanda masalah kesihatan mental

    Penyakit mental, juga dikenali sebagai kecelaruan mental, boleh menjejaskan sesiapa sahaja. Di mana keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku atau mana-mana gabungan semua ini yang sering menyebabkan kesukaran untuk menampung tekanan biasa dan rutin kehidupan.

    Gejala ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu ada yang agak ringan dan hanya menyebabkan kecelaruan yang terhad terhadap kehidupan seharian. Malah ada juga kondisi kesihatan mental lain yang sangat parah sehingga seseorang mungkin memerlukan rawatan hospital dan rawatan perubatan.

    Adapun masalah kesihatan mental itu kebiasaannya ialah kemurungan, gangguan keresahan, insomnia dan juga stres yang sememangnya boleh implikasi negatif bukan sahaja kepada seseorang individu, bahkan juga ahli keluarga, rakan sekerja dan juga masyarakat amnya.

    Stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara atau keadaan yang mana ia berlaku apabila seseorang merasakan sesuatu perkara atau keadaan itu di luar kawalan atau kemampuan dirinya. Manakala gangguan keresahan atau lebih dikenali sebagai ‘uri’ dalam kalangan masyarakat Brunei adalah satu kondisi psikologi di mana seseorang itu mengalami perasaan takut dan bimbang.

    Insomnia pula berkaitan dengan masalah kesukaran untuk tidur atau tiada keupayaan untuk mendapat tidur yang mencukupi dan lena yang mana ia secara tidak langsung boleh memberi kesan pada mental dan fizikal individu seperti menyebabkan merasa mengantuk dan letih pada keesokan hari serta boleh memberi kesan pada aktiviti seharian secara keseluruhannya.

    Selain itu, salah satu gangguan perasaan atau emosi seperti kadangkala merasa sedih, sudah hati atau tidak gembira itu juga merupakan tanda-tanda masalah kesihatan mental yang dikenali sebagai kemurungan, yang mana jika gangguan perasaan itu berlaku berpanjangan maka ia akhirnya boleh menjadi satu penyakit sehingga boleh menjejaskan pekerjaan, rumahtangga dan kesihatan seseorang individu.

    Secara keseluruhannya, masalah kesihatan mental berkenaan berpunca daripada tidak memiliki keyakinan diri, bebanan kerja yang berat, masalah hubungan kekeluargaan atau pasangan atau rakan, dan juga masalah kewangan atau kesihatan. Oleh itu, beberapa perkara yang dapat mengatasi masalah tersebut ialah melakukan aktiviti riadah atau senaman, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, sentiasa berfikiran positif, mendapatkan tidur yang mencukupi iaitu tujuh ke lapan jam sehari dan sentiasa mendapat bantuan profesional daripada pakar psikologi atau kaunselor apabila mengalami gejala-gejala berkenaan.

    Peka keadaan insan-insan sekeliling

    Meski cabaran demi cabaran sering menghantui kehidupan kita, namun yakinlah dengan diri, berdoalah kepada Allah SWT, kuatkan keazaman dan cita-cita demi mewujudkan suasana persekitaran yang selamat, kondusif dan produktif. Kita mestilah sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ujian yang mendatang.

    Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya pasti tersirat hikmat disebaliknya. Bayangkan, jika kita mengalihkan pandangan ke arah laut yang memiliki kecantikan air yang membiru dan penuh ketenangan, akan tetapi apa yang terdapat di dalam lautan tersebut tidak siapa yang boleh mengetahuinya, hanya Pencipta yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, suasana riang dan sedih yang dialami, namun hakikatnya hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahui rahsia sesebuah kehidupan.

    Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu dalam mengawasi ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita dengan sentiasa mengawasi perilaku mereka dari semasa ke semasa demi mewujudkan masyarakat yang sentiasa memiliki kesihatan mental dan fizikal yang baik.

    Hal ini amat penting dititikberatkan oleh semua pihak kerana rakyat dan penduduk merupakan sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif untuk negara. Dengan kata lain, rakyat dan penduduk yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama Islam dan adanya nilai kebruneian yang tinggi ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...