Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan tidak bermakna tanpa kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Kesihatan mental bukan satu perkara yang dianggap sebagai perkara tabu seperti sebelumnya di mana ia mendapat pengiktirafan yang semakin meluas bukan sahaja dilihat dalam agenda negara, malah merupakan salah satu keutamaan di bawah kepengerusian Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN tahun ini.

    “Kesihatan tidak bermakna tanpa kesihatan mental. Kita juga sedia maklum bahawa kesihatan mental melibatkan semua pihak dan yang paling mustahak, kita semua sedar bahawa kesihatan mental merupakan isu yang benar di Negara Brunei Darussalam dan negara lain. Di sinilah pentingnya usaha dan advokasi yang telah diungkayahkan oleh para hadirin dalam sesi hari ini.”

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam 2021 secara maya, hari ini.

    Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam pada tahun ini dianjurkan oleh CureHeart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi, Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald yang turut menyampaikan ucapan khas masing-masing.

    Tahun ini, tema untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah Mental Health in an Unequal World. Acara yang mendapat tajaan dari Syarikat Minyak Brunei Shell, Penerbangan Diraja Brunei, Coffee oleh Dil dan Samima ini telah membuka tirainya dengan bacaan doa dan ucapan alu-aluan dari pengasas CureHeart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan Binti Haji Alimas.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyampaikan kata-kata aluan pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam 2021 secara maya, kelmarin.- Gambar serahan Global Shapers Community BSB

    Selain itu antara perkara yang disentuh oleh Yang Berhormat Dato ialah pelbagai kegiatan berkonsepkan kesedaran kesihatan mental diungkayahkan oleh pelbagai pihak di mana ekosistem sebegini begitu penting untuk mengiktiraf kesihatan mental sebagai faktor teras kepada kesejahteraan kita, iaitu asas yang membolehkan untuk menjalankan kehidupan dan melibatkan diri dalam masyarakat dengan sepenuhnya.

    “Inilah ekosistem yang amat diperlukan dalam menghadapi gelombang COVID-19 yang terkini. Sejak permulaan pandemik, statistik yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa sepanjang tahun lepas, perkhidmatan psikologi di Hosipital RIPAS menerima 400 hingga 500 orang pesakit dalam satu bulan secara purata. Pada masa yang sama, Talian Harapan 145 menerima lebih dari 700 panggilan pada bulan Ogos tahun ini, satu peningkatan yang signifikan jika dibandingkan dengan purata 200 panggilan sebulan sebelum ini,” ujarnya lagi.

    Jelasnya, tanpa mengira kesan pandemik, sekitar 1.5 peratus daripada penduduk negara ini mengalami isu kecelaruan mental. Maka dalam hal ini kita hendaklah mengajukan pertanyaan kepada diri kita, bagaimanakah cara untuk menghalakan statistik ini kepada tindakan berterusan. Inilah tujuan utama Program Hari Kesihatan Mental Sedunia Negara Brunei Darussalam diadakan.

    Acara ini akan akan berlangsung selama tiga minggu secara maya dan beberapa program seperti forum, bengkel dan kumpulan sokongan akan dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda