Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kesihatan Zamani kembali normal

    Selepas tiga bulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit skoliosis pada November tahun lalu, penyanyi, Zamani bersyukur apabila kini mampu menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

    Zamani atau Zamani Ibrahim, 52, berkata dia sudah tidak lagi menanggung sakit terutama jika duduk atau berdiri dalam tempoh masa yang lama.

    Dia bagaimanapun masih tidak dapat melakukan beberapa aktiviti harian atas nasihat doktor bagi mengelakkan kecederaan di bahagian tulang belakangnya berulang.

    “Alhamdulillah saya dah semakin elok dan baik, rutin pun saya dah buat macam biasa.

    Cuma ada beberapa rutin harian yang masih saya tak boleh lakukan lagi macam saya tak boleh nak tunduk lagi.

    Zamani dah makin aktif selepas pembedahan. – Agensi

    “Tapi paling ketara saya dah mampu berdiri dan Alhamdulillah tak rasa sakit macam dulu.

    Saya pun sudah kembali banyak menerima persembahan pentas,” katanya kepada mStar.

    Zamani berkongsi perkara itu ketika ditemui di rakaman takbir raya yang berlangsung di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Zamani berkata dia masih lagi menjalani rawatan fisioterapi bagi memastikan fizikal dan tulang belakangnya lebih kuat dan stabil.

    “Saya masih lagi sedang jalani rawatan fisioterapi selama enam bulan. Sangat penting rawatan fisioterapi sebab saya ada masukkan besi, jadi nak beri dia serasi dengan tulang.

    “Saya ada lagi tiga bulan untuk rawatan fisioterapi. Tapi kalau rawatan doktor, dia cakap dah okay. Dua minggu lepas baru jumpa doktor dan semuanya baik-baik sahaja,” katanya lagi.

    Sebelum ini, Zamani menghidap penyakit skoliosis sejak 2015 dan keadaan dilihat semakin teruk apabila badannya tidak boleh berdiri tegak ekoran tulang belakangnya melengkung.

    Berkongsi perkembangan terkini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Gerimis Mengundang ini memberitahu bakal melakukan konsert bersama kumpulan Slam pada bulan Jun nanti.

    “Saya dan kumpulan Slam akan melakukan konsert berskala besar di Singapura pada Jun nanti manakala untuk peminat di Kuala Lumpur dalam bulan Ogos pula.

    “Saya teruja menyertai konsert reunion kali ini selepas keadaan saya dah sihat berbanding keadaan saya yang sebelum ini tidak beberapa okay,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...