Kesilapan besar tinggal solat ketika berpuasa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – ‘Kedudukan Puasa Orang yang Meninggalkan Solat Fardu di Bulan Ramadan’ menjadi tajuk tazkirah bagi Episod ke-18 dalam Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB, hari ini.

Tazkirah yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Dr Hajah Norwidayawati binti Pengiran Haji Metusin itu menyatakan solat fardu itu me-rupakan tiang utama dalam kehidupan dan salah satu Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang akal baligh.

“Meninggalkan solat fardu semasa berpuasa merupakan satu kesilapan yang besar walaupun solat fardu bukanlah syarat daripada sahnya berpuasa dan meninggalkannya bukanlah salah satu daripada batalnya berpuasa.

“Jika diibaratkan kepada rumah, solat fardu merupakan tiang kepada rumah berkenaan, maka dinding-dinding rumah tidak akan dapat didirikan selagi tiang tidak dapat didirikan. Begitu juga jika tiang itu roboh maka rumah itu dengan sendirinya akan roboh,” ujar Pengiran Dr Hajah Norwidayawati bagi memberi gambaran kepada orang-orang yang tidak menunaikan solat fardu ketika berpuasa.

Semasa tazkirah itu, beliau turut menerangkan tentang kedudukan mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat fardu dan menyarankan agar sentiasa bermuhasabah diri dalam mengekalkan pahala puasa dan juga membuat amalan-amalan sunat dan juga mewajibkan atau melazimkan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam kerana dikhuatiri orang yang berpuasa tanpa mendirikan solat fardu tidak akan diterima amalan-amalannya.

Pengiran Dr Hajah Norwidayawati ketika menyampaikan tazkirah dalam Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB.